Juruterbang nahas kapal terbang yang melibatkan Emiliano Sala dilaporkan tiada lesen untuk mengendalikan pesawat tersebut, menurut laporan yang dikeluarkan oleh badan penyiasat kemalangan udara United Kingdom, Air Accidents Investigation Branch (AAIB) semalam.
Sala dan juruterbang David Ibbotson terkorban dalam nahas tersebut yang berlaku di Selat Inggeris, dua hari selepas pemain Argentina tersebut sah berhijrah dari Nantes ke Cardiff City pada Januari 2019.
Laporan AAIB turut menyebut Sala telah lemas akibat tersedut gas karbon monoksida sebelum pesawat terhempas.
Susulan daripada pengeluaran laporan tersebut, keluarga Sala merakamkan rasa syukur – tetapi masih mempunyai banyak soalan yang perlu dijawab dalam inkues akan datang.
“Adalah penting maklumat yang disimpan oleh pihak polis yang digunakan untuk menulis laporan ini diberikan kepada koroner dan kemudiannya kepada keluarga mangsa,” tambah wakil keluarga Sala dalam satu kenyataan media.
Waris Sala menekankan mereka masih berasa sedih dengan kehilangan pemain berusia 28 tahun tersebut tetapi berazam untuk mencari kebenaran tentang bagaimana dan mengapa beliau meninggal dunia.
Cardiff City berkata kelab tersebut ‘gembira Civil Aviation Authority (CAA) berazam untuk mencari kegiatan haram dengan mencari individu yang bertanggungjawab’ selepas membaca laporan tesebut.
Kegiatan haram apa?
Bercakap mengenai ‘kegiatan haram’ dalam laporan AAIB tersebut, Cardiff City merujuk kepada perbuatan membenarkan David Ibbotson yang tiada lesen untuk memandu pesawat yang membawa Emiliano Sala.
Laporan AAIB mendedahkan juruterbang berusia 59 tahun itu tidak layak memandu pesawat Piper Malibu N264DB pada waktu malam dan tidak berpengalaman menggunakan peralatan pesawat tersebut.
Rating Ibbotson dikatakan telah luput pada November 2018, sekaligus membuatkan lesen memandu pesawat beliau tidak sah pada hari kemalangan tersebut.
AAIB juga mendapati ada bukti yang banyak menunjukkan bahawa Ibbotson sedar beliau tiada lesen membawa penumpang, tetapi beliau tetap mahu memandu pesawat itu untuk mendapat bayaran. Kegiatan haram inilah yang cuba dihukum oleh Cardiff yang membayar £15 juta untuk mendapatkan servis Sala.
Tidak cukup dengan itu, AAIB juga mendapati fungsi ‘autopilot’ pesawat itu juga telah rosak dan sepatutnya dilabel ‘tidak boleh digunakan’.
AAIB mengakhiri laporan tersebut dengan kesimpulan: “juruterbang dan pesawat tersebut kedua-duanya tiada lesen dan kebenaran untuk beroperasi secara komersil.”
Mengulas laporan AAIB tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Air Charter Association, Dave Edwards berkata:
“Penerbangan ini jelas sekali penerbangan haram yang kami dah lama kata perlu dihentikan.
“Apa yang sedihnya adalah ada lebih kurang tujuh peluang penerbangan ini boleh dihentikan. Kalau penerbangan ini diselia seperti biasa, ia pastinya akan dibatalkan. Tapi dalam kes ini, ia diteruskan kerana tidak diselia.”
Apa yang terjadi?
Untuk mengimbas kembali nahas kapal terbang tersebut, Sala dalam perjalanan dari Nantes, Perancis ke Cardiff pada 21 Januari 2019 apabila pesawat Piper Malibu N264DB yang dinaikinya terputus hubungan dengan menara kawalan trafik udara di utara Guernsey.
Ibbotson hilang kawalan pesawat ketika cuba turun untuk mengelak awan. Kawalan beliau dikatakan terganggu kerana terhidu karbon monoksida daripada ekzos pesawat yang masuk ke kabin melalui sistem pemanasan pesawat.
Usaha Ibbotson untuk mengawal kejatuhan pesawat tersebut menyebabkan sayap belakang dan kedua-dua sayap tepi pesawat terkoyak sebelum jatuh di laut berhampiran Guernsey pada kelajuan 436 kilometer per jam (km/h).
Mayat Sala ditemui berdekatan dengan bangkai pesawat di laut pada awal Februari. Hasil bedah siasat mendedahkan beliau mati kerana kecederaan kepala dan torso. Sementara itu, mayat Ibbotson tidak berjaya ditemui.