Ketua Jurulatih Brentford, Thomas Frank menyifatkan Manchester United ‘sangat bernasib baik’ ketika meraih kemenangan 3-1 ke atas pasukannya dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada awal pagi tadi.
Gol yang dijaringkan pada babak kedua menerusi Anthony Elanga, Mason Greenwood dan Marcus Rashford menyaksikan United selesa mendahului tiga gol sebelum Ivan Toney mendapatkan gol saguhati buat tuan rumah pada masa kecederaan.
Namun skuad kendalian Ralf Rangnick itu dianggap cukup bernasib baik apabila aksi buruk mereka pada separuh masa pertama diselamatkan oleh kecekapan penjaga gol David de Gea yang menafikan deretan percubaan.
“Mereka teramatlah bernasib baik. Mereka ubah sistem permainan apabila berdepan dengan pasukan ‘kerdil’ seperti Brentford, tetapi lihat bagaimana kami ‘musnahkan’ mereka pada separuh masa pertama,” ujar Frank dalam temubual selepas perlawanan.
“Cara kami ‘hentam’ mereka pada separuh masa pertama begitu menakjubkan, saya sangat berbangga dengan pasukan ini.”
United akhirnya meraih kembali kemenangan dalam aksi liga selepas dua keputusan kurang memberangsangkan berdepan Wolverhampton Wanderers dan Aston Villa selain memberikan kekalahan ketiga berturut-turut buat Brentford.
Kini The Red Devils menghuni tangga ketujuh liga, masih dua mata di belakang kedudukan empat terbaik.