Sejak tibanya beliau ke England untuk menjadi pengurus Liverpool, Jurgen Klopp sering lantang bercerita mengenai perbezaan situasi bola sepak di negara beliau dan England.
Sebelum ini, Klopp pernah menyuarakan pendapat beliau mengenai situasi jadual padat yang sering kali dilalui pasukan di England sewaktu musim perayaan Krismas dan juga sambutan tahun baharu.
Perkara tersebut nyata berbeza dengan situasi di Jerman yang menyaksikan cuti musim sejuk atau winter break dilaksanakan.
Baru-baru ini di sidang media pra-perlawanan FA Cup melibatkan Liverpool dan juga West Bromwich Albion, Klopp sekali lagi memberikan pendapatnya mengenai landskap bola sepak England.
Menurut Klopp, beliau lebih gemarkan perlawanan bola sepak dilangsungkan pada waktu malam dan bukannya pada waktu tengah hari.
“Saya lebih gemarkan perlawanan pada waktu malam yang berlangsung pada jam 7.45 malam. Lazimnya majoriti orang tidaklah masuk tidur awal jadi ia merupakan waktu ideal untuk perlawanan bola sepak dilangsungkan.”
“Malah selepas perlawanan malam, mereka akan bersiar-siar di bandar Liverpool.”
“Sepak mula pada jam 7.45 malam adalah lebih baik berbanding sepak mula pada jam 12 tengah hari. Pada jam 12 tengah hari saya lapar tapi pada jam 7.45 malam saya tak lapar!”
Kenapa Klopp berkata sedemikian?
Apa yang Klopp suarakan itu adalah merujuk kepada situasi seandainya satu-satu perlawanan bola sepak di England dipilih untuk disiarkan secara langsung di kaca televisyen Britain.
Waktu tradisional sepak mula perlawanan bola sepak di Britain adalah pada jam 3 petang (11 malam waktu Malaysia). Akan tetapi, jika satu-satu perlawanan itu dipilih untuk disiarkan di kaca televisyen di sana, waktu sepak mulanya perlu diubah.
Lazimnya, perlawanan yang disiarkan akan dianjak masa siarannya pada jam 12 tengah hari (8 malam waktu Malaysia) atau dilewatkan pada jam 5 petang (1 pagi waktu Malaysia) atau 7.45 malam (3.45 pagi waktu Malaysia).
Semua ini kerana Blackout Law yang dilaksanakan di Britain yang melarang siaran langsung perlawanan bola sepak disiarkan di stesen televisyen Britain pada jam 3 petang.
Rasionalnya adalah untuk memastikan kehadiran penyokong ke stadium tidak menurun.
Namun begitu, pengecualian untuk siaran langsung diadakan pada jam 3 petang diberikan kepada perlawanan separuh akhir dan juga perlawanan akhir bagi saingan piala nasional seperti FA Cup dan juga Scottish Cup.