Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mengakui bahawa barisan pemain muda kelab tersebut berada di landasan yang terbaik untuk menyinar dalam tempoh beberapa tahun mendatang.
Sehubungan dengan itu, Klopp tanpa berselindung turut mengakui pemain-pemain seperti Curtis Jones, Neco Williams, Harvey Elliot dan ramai lagi bakal menikmati masa depan yang cerah dalam kancah bola sepak profesional.
Pengendali kelahiran Jerman itu turut menganggap pemain-pemain tersebut mempunyai banyak masa di Liverpool untuk membangunkan kualiti hebat yang dimiliki oleh setiap daripada mereka.
Jones dan Williams telah diberikan peluang oleh Klopp untuk beraksi selama 69 minit pada perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) bertemu Burnley di Anfield, Sabtu lalu.
Selain itu, pemain sayap berusia 17 tahun, Harvey Elliot juga sudah dua kali diberikan peluang membuat penampilan dalam saingan EPL pada musim ini.
”Saya tidak pasti betapa tinggi taruhannya, ia berkaitan bagaimana pemain-pemain muda kelab ini bersedia?” ujar Klopp menurut laporan Goal.
”Tidak ada pemain tua atau muda, hanya yang ada adalah pemain bagus dan tidak bagus dan saya mengharapkan kami hanya mempunyai pemain bagus, pemain yang luar biasa.”
”Masalahnya, tidak hanya untuk pemain muda, tetapi setiap pemain tidak berada di barisan pertama – pasukan ini sangat bagus. Sukar untuk bermain 40 perlawanan berturut-turut.”
”Tetapi pemain muda mempunyai banyak waktu untuk meningkatkan kualiti mereka dan tidak mempunyai tekanan, terutamanya bukan daripada kami.”
”Sekiranya mereka menggunakan masa tersebut dengan baik, akan ada masa depan yang ‘cantik’ buat mereka,” tambah Klopp lagi.
Kredit featured image: Nick Taylor/Liverpool FC/Liverpool FC via Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Jurgen Klopp: