Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp jelas sekali mempunyai saat yang tidak akan dilupakannya selepas berjaya merangkul gelaran Premier League pada musim lalu.
Lebih manis, kejayaannya itu berjaya mendapatkan beliau dengan anugerah pengurus terbaik tahunan anjuran League Manager Association (LMA).
Pastinya pada waktu itu, anda ada terbaca kisah lucu antara Klopp dengan bekas pengurus Manchester United iaitu Sir Alex Ferguson yang sebaik sahaja dikejutkan oleh pengendali dari Jerman itu selepas Liverpool sah menjuarai Premier League.
Pada waktu itu, Ferguson mengatakan yang beliau menerima panggilan daripada Klopp pada jam 3.30 pagi selepas Liverpool meraikan kejayaan mereka.
Namun selepas berbulan insiden itu berlaku, Klopp tampil memberikan penjelasan mengenai insiden tersebut.
“Sebenanrnya saya tidaklah menelefon beliau pada waktu itu, tetapi saya cuma membalas semula mesej yang saya terima dari beliau.”
“Saya pulang lewat dan tidak dapat tidur dengan segera pada waktu itu, jadi saya lihat semua mesej yang saya terima di telefon saya dan salah satunya adalah dari Ferguson.”
“Saya balas mesej beliau dengan cara yang sopan saya rasa, waktu itu dalam jam 3.30 atau 4 pagi. Saya tak sangka yang telefonnya ada di sebelah katilnya!,” petik dari laman Liverpool ECHO.
Tambah Klopp lagi, itu adalah kali terakhir beliau menghubungi Ferguson dan beliau telah pun meminta maaf kepada pengurus terulung itu jika tindakannya itu menggangunya.
Macam mana pun, Klopp tidak mahu bercakap panjang mengenai kejayaan Liverpool bersama-sama Ferguson kerana individu itu merupakan personaliti ternama Manchester United.