Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp percaya bahawa pembelian terbaru kelab, Virgil Van Dijk akan membuktikan kehebatannya dan pengendali dari Jerman itu juga turut mengakui kualiti yang dimiliki pertahanan tengah tersebut.
Dalam pada itu, Klopp turut mengharapkan supaya para penyokong setia Liverpool dapat melupakan mengenai nilai yang tinggi £75 juta bagi mendapatkan khidmat Van Dijk.
Beliau percaya pemain tersebut mempunyai kualiti yang mampu untuk membuatkan pelaburan wang yang dilakukan Liverpool itu berbaloi.
Klopp berjaya memujuk ahli lembaga pengarah Liverpool untuk berbelanja besar bagi mendapatkan Van Dijk yang sekaligus menjadi pemain pertahanan termahal dalam sejarah bola sepak dunia.
Pemain berusia 26 tahun kelahiran Breda, Belanda itu akan diumumkan secara rasmi sebagai pemain baru The Reds apabila jendela perpindahan musim sejuk dibuka pada Januari 2018.
Jurgen Klopp berkata kepada Sky Sports, ”Saya dapat bayangkan bahawa orang ramai berfikiran ‘wow, besarnya nilai tersebut, tetapi bagi saya ianya tidaklah begitu menarik minat saya. Bukan kami yang meletakkan harga tersebut, tetapi ianya ditetapkan oleh pasaran pemain.”
”Perkara pertama yang perlu dilakukan oleh semua penyokong Liverpool adalah mesti melupakan mengenai harga tersebut dengan cepat.”
”Kami hanya bercakap mengenai pemain dan apa yang dia boleh sumbangkan kepada pasukan. Kualiti yang dimiliki, mentalitinya, karakter dan itu yang membuatkan mengapa kami begitu gembira dengan perkara ini.”
Klopp tidak mahu terlalu memikirkan mengenai Van Dijk yang sedikit bergelut pada permulaan musim ini ketika di Stadium St Mary’s.
”Ia mungkin bukan separuh musim yang terbaik buat Van Dijk di Southampton, dia mengalami kecederaan panjang dan kami semua mengetahui apa yang berlaku pada musim panas lalu (pendekatan ‘pintu belakang’ yang didakwa Southampton).
”Dia merupakan seorang pemain yang tinggi dan mereka sentiasa memerlukan masa yang lama untuk pulih dari kecederaan, jadi dia memerlukannya untuk mendapatkan rentak. Tetapi kami mempunyai kualiti di barisan pertahanan dan tidak tergesa-gesa mahu menurunkannya.”
”Dia perlu menyesuaikan diri dengan cara kami bermain, ianya berbeza tetapi kami percaya 100% dia mampu melakukannya,” jelas Jurgen Klopp lagi.