Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mendedahkan bahawa skuad bimbingannya itu tidak memerlukan rekrut pemain secara besar-besaran seperti dilakukan Chelsea bagi menghadapi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2020/21.
Liverpool bakal menghadapi musim baharu dengan cabaran yang lebih sukar dalam usaha untuk mengekalkan kejuaraan musim selepas menamatkan penantian panjang untuk muncul juara EPL.
Sehubungan dengan itu, Klopp melihat kepentingan untuk mengekalkan formula kemenangan berbanding memborong pemain bagi menguatkan jentera kelab Merseyside tersebut.
Liverpool dilihat tidak begitu aktif pada jendela perpindahan kali ini apabila hanya membawa masuk pemain pertahanan dari Olympiacos, Kostas Tsimikas dengan yuran perpindahan bernilai £11 juta.
Manakala Chelsea begitu mengejutkan dengan membawa masuk Timo Werner, Hakim Ziyech, Kai Havertz, Ben Chilwell dan Thiago Silva. Manchester City juga menambah kekuatan pasukan dengan merekrut Ferran Torres serta Nathan Ake.
Musuh tradisi Liverpool, Everton juga mengorak langkah pada musim ini apabila berjaya mendapatkan khidmat James Rodriguez, Allan dan Abdoulaye Doucoure.
”Kelab berada dalam keadaan berbeza dan kami kini hidup dalam ketidakpastian di dunia. Bagi sebilangan kelab, ia kelihatan tidak begitu penting berhubung ketidakpastian kerana mereka dimiliki oleh negara, dimiliki oleh sistem Oligarki dan itulah kebenarannya.”
”Kami merupakan sebuah kelab yang berbeza,” ujar Klopp menurut laporan dikeluarkan Goal.
”Kami telah melayakkan diri ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah dua musim lalu, setahun kemudian kami memenanginya dan tahun ini pula menang Liga Perdana Inggeris dengan menjadi kelab kami, kami tidak boleh mengubahnya pada semalam dan mengatakan ‘sekarang kami akan bersikap seperti Chelsea’.”
”Kami sentiasa mahu meningkatkan skuad dengan cara berbeza. Pertamanya dengan menandatangani pemain baharu dan cara selainnya ialah dengan bekerja bersama-sama, memperbaiki apa yang anda mahir dan cuba untuk menghentikan sesuatu yang anda tidak mahir.”
”Inilah bola sepak. Tiada siapa yang hanya mahu untuk bercakap tentang latihan dan rekrut baharu sahaja,” tambah Klopp lagi.
Kredit featured image: Andrew Powell/Liverpool FC via Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Jurgen Klopp: