Berita baik buat penyokong Kedah dan juga Pahang, tiket akan diagihkan sama rata!
Menurut pihak FMLLP, kedua-dua penyokong akan menerima jumlah yang seimbang dengan penyokong Kedah dan Pahang masing-masing akan menerima 32 ribu tiket untuk setiap pasukan.
32 ribu tiket itu merupakan untuk golongan dewasa manakala 750 tiket lagi adalah untuk kanak-kanak.
Kesemua tiket itu akan dijual di stadium pasukan masing-masing iaitu di Stadium Darul Aman dan juga Stadium Darul Makmur.
Namun begitu, masih lagi ada baki tiket yang akan dijual dari atas talian buat mereka yang berada di luar 2 negeri tersebut.
Namun jumlahnya tiket yang dijual atas talian adalah dalam jumlah yang kecil iaitu cuma dalam bilangan 6 ribu sahaja untuk tiket dewasa dan 500 keping tiket untuk kanak-kanak.
Dalam masa yang sama, pihak FMLLP telah mengesahkan yang perlawanan akhir Piala FA ini akan kekal dilangsungkan di Stadium Shah Alam.
Bercakap kepada Sinar Harian, CEO FMLLP Kevin Ramalingam berkata keputusan untuk memindahkan lokasi perlawanan akhir dari Stadium Shah Alam kepada Stadium Nasional Bukit Jalil sukar untuk dilakukan.
Hal ini kerana, FMLLP punya 9 hari sahaja untuk melakukan proses tersebut yang memerlukan pelbagai perkara perlu diselesaikan dengan banyak pihak.
“Kita terpaksa kekalkan lokasi perlawanan di Shah Alam kerana tempoh yang kami terima terlalu singkat iaitu hanya sembilan hari untuk menukar lokasi perlawanan.”
“Ianya bukan mudah kerana banyak perkara harus diambil kira terutamanya melibatkan aspek keselamatan penyokong dan sebagainya.”