Pengurus baharu RB Leipzig, Julian Nagelsmann melaungkan keyakinan bahawa skuad bimbingannya itu mampu untuk memberikan cabaran buat skuad gergasi Jerman, Bayern Munich.
Dikenali sebagai pengurus termuda dalam sejarah Bundesliga dan berjaya membawa naik nama 1899 Hoffenheim sekaligus layak ke saingan Liga Juara-Juara Eropah secara automatik pada musim lalu, Nagelsmann telah menarik minat RB Leipzig untuk membimbing kelab tersebut bagi menghadapi musim 2019/20.
Nagelsmann yang berusia 32 tahun turut melihat persaingan dalam kempen Bundesliga akan menjadi lebih seimbang pada musim baharu tersebut.
”Saya merasakan kami mampu untuk mencabar Bayern (Munich) tetapi ia tidak hanya mengenai Bayern.”
”Terdapat banyak pasukan yang menarik pada tahun ini, dengan ramai jurulatih dan perubahan baru.”
‘”Saya percaya ini akan menjadi satu daripada musim Bundesliga yang seimbang untuk tempoh masa yang lama.”
”Adalah penting bahawa kami semua cuba untuk bercita-cita tinggi dan ia menarik untuk semua orang.”
Julian Nagelsmann sudah mula mencongak strategi apabila membawa masuk empat pemain baharu bagi memantapkan pasukannya.
Antara pemain yang menjadi pilihan beliau adalah Ademola Lookman (21 tahun) yang direkrut dari Everton, Christopher Nkunku (21 tahun), Hannes Wolf (20 tahun) dan pemain pertahanan kiri dari Brazil, Luan Candido (18 tahun).
Sementara itu, RB Leipzig turut meminjam pemain muda Chelsea, Ethan Ampadu sehingga penghujung musim.
Kredibiliti Nagelsmann sekali lagi bakal teruji di pentas Eropah apabila RB Leipzig akan beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.