Pengendali RB Leipzig, Julian Nagelsmann mendedahkan sebab mengapa beliau menolak tawaran yang diberikan Real Madrid dalam usaha untuk membawanya ke Santiago Bernabeu pada tahun 2018.
Anak kelahiran sebuah bandar di barat daya Bavaria, Jerman itu beranggapan bahawa tawaran yang diterima daripada kelab gergasi bola sepak dunia tersebut adalah terlalu awal buatnya.
Nagelsmann telah mencuri tumpuan pada musim 2016 apabila beliau bergelar pengurus termuda yang membimbing kelab Bundesliga selepas memeterai kontrak bersama 1899 Hoffenheim pada usia 28 tahun.
Karisma hebat dimiliki sebagai seorang pengurus walaupun pada usia yang begitu muda telah menarik minat Real Madrid untuk menjadi pengganti kepada Zinedine Zidane sebaik tamat musim 2017/18.
Namun, Nagelsmann yang kini berusia 33 tahun merasakan masih belum sesuai buatnya untuk bergelar pengurus Real Madrid pada ketika itu.
”Kami menerima panggilan telefon, tetapi pada akhirnya yang perlu membuat keputusan adalah diri saya sendiri,” ujar Nagelsmann menurut laporan Goal.
”Saya percaya ia bukanlah langkah yang tepat untuk pergi ke Real Madrid.”
”Saya merupakan salah seorang daripada calon yang mana senarainya [calon pengurus] tidaklah begitu panjang. Bagi saya, ia sangat penting.”
”Saya berbual dengan baik bersama Jose Angel Sanchez [Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Real Madrid] dan kami memilih ia bukan langkah yang tepat pada ketika itu.”
”Kami bersetuju untuk kembali berunding sekiranya Real Madrid memerlukan seorang jurulatih dan saya ada [untuk menerima tawaran],” ujar Nagelsmann lagi.
Dalam perkembangan lain, musim 2019/20 masih belum berakhir buat Nagelmann dan anak buahnya berikutan kemaraan RB Leipzig ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Eropah yang menyaksikan mereka akan bertemu Atletico Madrid pada 13 Ogos nanti di Portugal.
Kredit featured image: Alexander Hassenstein/Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Julian Nagelsmann dan Real Madrid: