‘Juara Eropah Kembali’ – Catatan 23 Tahun Jatuh Bangun Nottingham Forest

Nottingham Forest 23 Tahun

Tanggal 29 Mei 2022 pastinya bakal menjadi momen yang sukar dilupakan penyokong Nottingham Forest.

Hampir suku abad yang lalu, kelab ini tersingkir dari saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di bawah kendalian Ron Atkinson pada 1999.

Namun gol sendiri pertahanan Huddersfield, Levi Colwill memastikan kemenangan 1-0 skuad The Tricky Trees pada perlawanan akhir play-off Championship di Wembley yang mengakhiri penantian untuk kembali ke kancah liga elit.

Artikel ini sedikit sebanyak akan membawa kembali 23 tahun sejarah kejatuhan dan kebangkitan Nottingham Forest di pentas bola sepak Inggeris.

Pengasas EPL yang tersakiti

Selaku salah satu ‘pasukan besar’ di liga utama Inggeris pada 1970-an, 80-an dan 90-an, Nottingham Forest merupakan satu daripada 22 buah kelab yang terlibat dengan asas penubuhan EPL pada 1992.

Pengurus Legenda Brian Clough yang menjadi tunjang utama kepada kegemilangan Forest masih bertanggungjawab memimpin pasukan ini selepas menamatkan saingan di kedudukan 10 teratas selama tiga musim berturut-turut.

Ku sangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Forest akhirnya berdepan dengan musim pertama di EPL yang cukup goyah meskipun memiliki beberapa nama besar dalam pasukan seperti Roy Keane, Stuart Pearce, Scott Gemmill dan Ian Woan.

Selepas hanya menang 10 perlawanan daripada 42 perlawanan, Forest mengakhiri kempen di tangga tercorot dan tersingkir ke divisyen kedua.

Ia juga menjadi detik penamat kepada 18 tahun era Clough selaku pengurus yang dianggap terbaik dalam sejarah kelab selepas membawa pasukan tersebut menjuarai European Cup sebanyak dua kali berturut-turut (1978/79 dan 1979/80)

Kisah Brian Clough Pacu Nottingham Forest Daripada Divisyen 2 Kepada 2 Kejuaraan Eropah

Ibarat yo-yo

Forest tidak menunggu lama untuk kembali ke EPL. Selepas pasukan diambil alih oleh Frank Clark, mereka menamatkan musim 1993/94 sebagai naib juara untuk kembali ke EPL.

Lebih menakjubkan, momentum positif yang dijelmakan Clark membawa pasukan ini menamatkan saingan di tangga ketiga EPL pada musim 1994/95 dan layak beraksi di kejohanan Piala UEFA. Forest mara sehingga peringkat suku akhir pada kejohanan Eropah tersebut pada musim 1995/96 dan menamatkan saingan liga di tangga kesembilan.

Tetapi pada musim berikutnya, Forest sekali lagi kehilangan status elit mereka selepas mengakhiri kempen 1996/97 di tangga ke-20 dan tersingkir. Kemudian menang divisyen kedua pada musim 1997/98 dan sekali lagi menamatkan EPL di kedudukan ke-20 pada musim 1998/99.

https://twitter.com/NFFC_TrentEnd/status/1255955877145858050?s=20&t=Jt2_1plZ2OEWAFUvoTJQzQ

Maka tidak keterlaluan untuk mengatakan Nottingham Forest merupakan kelab yo-yo pertama dalam sejarah EPL seperti mana turun naik liga yang kita lihat pada Fulham dan Norwich City pada ketika ini.

Pergelutan prestasi

Forest melantik David Platt sebagai pengurus baharu dan seperti kebiasaan tahun-tahun sebelumnya, mereka dianggap pasukan pilihan untuk segera kembali semula ke EPL.

Tetapi sebaliknya yang berlaku. Dua musim pertama, Forest hanya menamatkan saingan di tangga ke-14 dan kemudian ke-11 sebelum Platt meninggalkan pasukan bagi menyertai skuad kebangsaan England selaku jurulatih skuad bawah 21 tahun (B-21).

Pelantikan Paul Hart memberikan sedikit harapan. Meskipun kelab juga mula dibebani dengan hutang dan gagal untuk mendapatkan pemain baharu yang berkualiti, Forest akhirnya mara ke pusingan play-off pada musim 2002/03, tetapi dikecewakan oleh Sheffield United pada pertembungan separuh akhir.

Pada 2004, liga divisyen dua England itu dijenamakan semula sebagai Championship dan sekali lagi Nottingham Forest menjadi salah satu pasukan pengasas kepada penubuhannya.

Suratan atau kebetulan, ‘mimpi ngeri’ yang sama berulang. Seperti mana mereka tersingkir pada tahun pertama selepas menjadi pengasas kepada EPL, mereka hanya bertahan semusim sahaja di Championship dan tersingkir ke League One.

Ia juga menjadikan Forest sebagai pemenang kejuaraan Eropah pertama dalam sejarah yang terhumban ke liga divisyen ketiga di peringkat domestik.

Pendakian bermula

Seterusnya adalah tahun-tahun yang panjang buat Forest serta penyokongnya. Pengurus keluar dan masuk silih berganti membawa misi mengembalikan maruah kelab tersebut untuk diletakkan semula ke tempat selayaknya.

Menamatkan saingan di tangga kedua pada kempen 2007/08, Forest kembali semula ke Championship. Musim-musim seterusnya prestasi pasukan masih tidak menentu. Ada musim mereka bergelut di zon penyingkiran dan turut berkesempatan bersaing di play-off, namun kerap terkandas di separuh akhir.

Sepanjang 10 tahun, John Pemberton, Billy Davies, Steve Mclaren, Steve Cotterill, Sean O’Driscoll, Alex McLeish, Stuart Pearce, Dougie Freedman, Philippe Montainier dan Mark Warbutton adalah nama-nama pengurus yang masih gagal mengembalikan Forest ke EPL.

Musim 2018/19 di bawah kendalian Aitor Karanka bermula dengan baik selepas mereka hanya tewas dua kali sahaja daripada 20 perlawanan pertama. Namun menjelang perayaan krismas, secara tiba-tiba keadaan menjadi serba tidak kena. Hanya setahun selepas pelantikan, kontrak Karanka ditamatkan.

Martin O’Neill – salah seorang legenda kelab yang menjadi sebahagian daripada skuad Clough yang mendominasi kejuaraan domestik dan Eropah pada penghujung 1970-an – telah dibawa masuk untuk mengambil tempat selaku pengurus baharu pada Januari 2019.

Bagaimanapun jodoh O’Neill bersama bekas pasukannya tidak bertahan lama. Beliau dipecat pada penghujung musim selepas dilaporkan berlaku perselisihan dengan pemain-pemain senior pasukan. Pelantikan Sabri Lamouchi dan kemudian Chris Houghton untuk dua musim berikutnya juga berakhir dengan pemecatan.

Sentuhan magis

Pada 21 September 2021, Forest mengumumkan pelantikan Steve Cooper sebagai pengurus baharu dengan kontrak dua tahun ketika Forest sedang mendudukan dasar liga selepas tujuh perlawanan.

Cooper tidak menunggu lama untuk mencipta impak luar biasa di City Ground. Jurulatih warga Wales tersebut menang empat daripada lima perlawanan pertama dan hanya tewas sekali sahaja dalam 14 perlawanan untuk meletakkan Forest di kedudukan ketujuh menjelang perayaan Krismas.

Pada penghujung musim, prestasi konsisten Forest membolehkan mereka menamatkan saingan Championship di tangga keempat, seterusnya layak beraksi di pusingan play-off buat kali pertama sejak musim 2010/11.

Berdasarkan statistik, tiada pasukan lain yang mengumpul mata lebih banyak dalam 38 perlawanan sejak Cooper mengambil alih pasukan (22 menang, 20 seri dan 6 tewas), termasuk Fulham yang muncul juara liga.

Nottingham Forest menewaskan Sheffield United di separuh akhir menerusi penentuan sepakan penalti dan mara ke final di Wembley untuk berhadapan Huddersfield Town lalu mengesahkan promosi ke EPL buat kali pertama selepas 23 tahun selepas menang 1-0 pada perlawanan akhir.

Kesimpulan

Setiap kejayaan memerlukan perancangan yang baik. Tidak lama sebelum membuat keputusan tepat memilih Cooper sebagai pengurus, pengerusi kelab, Nicholas Randall telah membentang perancangan ‘agak mustahil’ iaitu mengembalikan Forest ke kancah bola sepak Eropah dalam tempoh lima tahun.

Maka struktur kelab telah diubah secara drastik bagi menyingkirkan budaya toksik yang membelenggu selama lebih dua dekad. Lantikan Dane Murphy selaku pengerusi eksekutif dan George Syrianos untuk mengetuai bahagian perekrutan telah membawa kepada polisi perpindahan yang lebih baik berdasarkan data analitik.

Pastinya peminat bola sepak Inggeris tidak sabar untuk melihat aksi Forest pada musim hadapan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN