Bagi seorang gamers dari Arab Saudi yang merupakan juara FIFA Interactive World Cup 2015, pengalaman dapat pergi ke gala Ballon d’Or 2015 di Zurich dan berjumpa dengan Lionel Messi, Cristiano Ronaldo dan Neymar adalah sesuatu yang istimewa.
Abdulaaziz Alshehri yang baru berusia 25 tahun muncul juara FIFA Interactive World Cup 2015 selepas pasukan Portugal yang dikendalikannya menang 3-0 ke atas pasukan Argentina yang dikendalikan gamers Perancis, Julien Dassonville.
Sebagai juara, Alshehri menerima wang tunai USD20,000 (RM87,900) dan jemputan menghadiri Ballon d’Or untuk menerima sijil kemenangan daripada Cristiano Ronaldo sendiri.
Iniesta dan Modric sangat pemalu
Ketika ditemu ramah oleh Goal.com mengenai pengalamannya berjumpa dengan pemain-pemain bintang ketika Ballon d’Or, Alshehri mendedahkan personaliti mereka yang berbeza-beza.
“Mula-mula saya jumpa (Andres) Iniesta. Dia sangat peramah dan sentiasa tersenyum, tapi agak pemalu pada mulanya.”
“Kemudian saya jumpa Dani Alves. Dia memang kecoh dan bising orangnya! Lepas itu saya jumpa Neymar. Rupa-rupanya, Neymar kecil juga orangnya. Kurus. Dia tak nampak macam biasa yang kita tengok di TV.”
“(Luka) Modric pula agak pemalu.”
“Saya tak sempat jumpa Cristiano pada mulanya kerana ramai orang mengerumuni beliau. Messi juga sama. Dia cool tapi dia perlu pergi ke tempat lain semasa kami berjumpa. Dan ramai orang mengerumuni Messi juga.”
Pogba takut kalah
Alshehri turut mendedahkan kekaguman beliau terhadap gaya fesyen Paul Pogba dan Sergio Ramos yang cuba menukarnya menjadi penyokong Real Madrid.
“(Paul) Pogba memang pandai bergaya. Saya ajak dia main FIFA tapi dia jawab ‘saya tahu awak juara dunia, jadi saya tak mahu lawan awak’.
“Sergo Ramos pula tanya saya ‘adakah awak penyokong Real Madrid?’. Saya sokong Al Hilal dan Internazionale, jadi saya beritahu dia ‘ya, apa-apa sajalah’. Kemudian dia jawab ‘OK!’ dan gelak besar. Dia pemain paling mesra yang saya jumpa pada malam itu.”
Messi layak menang, tapi Iniesta juga perlu menang
Ketika ditanya mengenai calon pemenang Ballon d’Or 2015 kegemarannya, Alshehri menjawab:
“Saya paling suka Ronaldo kerana dia membantu saya menjadi juara FIFA 16 dunia (Ronaldo menjaringkan hatrik untuk pasukan Alshehri dalam final).”
“Messi layak menang (Ballon d’Or). Tapi saya mahu Iniesta menang sebenarnya. Saya rasa dia perlu menang sekurang-kurangnya sekali dalam kariernya.”
Messi takut kalah, Ronaldo tak pandai main
Alshehri turut memberitahu Lionel Messi takut bermain FIFA 16 dnegannya kerana takut kalah.
“Kami tak dapat main bersama. Saya dah ajak Messi, tapi Messi takut kalah. Neymar pula ada kontrak dengan game lain yang merupakan pesaing game FIFA (Pro Evolution Soccer).”
“Ronaldo pula beritahu, dia langsung tak main game.”
Sejak bergelar juara dunia FIFA 16, Alshehri kini mempunyai rancangan TV sendiri (tentang bola sepak dan gaming) di stesen televisyen terbesar Arab Saudi dan Timur Tengah.
Baca juga: Bintang NFL Sahut Cabaran Gamers Bermain FIFA 16, Belasah Pasukan Gamers 9-1