Selepas berjaya mendakap trofi Piala EFL dan UEFA Europa League (UEL) serta Piala Sumbangsih (Charity Sheld) pada awal musim lalu, Juan Mata berkata Mourinho sudah mula berkira untuk menewaskan Real Madrid pada musim ini.
Juan Mata mendedahkan bahawa pengurus Manchester United itu dan dirinya sudah mulai mencongak untuk perlawanan akhir UEFA Super Cup yang akan dijadualkan pada 8 Ogos hadapan.
Manchester United akan berhadapan dengan Real Madrid selepas kedua-dua pasukan muncul juara pertandingan pentas eropah, Europa League dan juga Champions League (UCL) pada musim lalu.
Perlawanan akhir UEFA Super Cup akan dianjurkan di Philip II Arena, Macedonia, pertama kali negara berkenaan dipilih sebagai venue pertandingan akhir perlawanan peringkat eropah.
Juan Mata mula mengisahkan keterujaannya mengenai perlawanan yang akan diadakan pada awal bulan hadapan itu.
“Jose Mourinho telah memikirkan perlawanan tersebut, dan ia adalah sebelum Real Madrid menjuarai UCL.
“Jose mahu memenangi piala berkenaan bersama United. Walaupun Zinedine Zidane telah melalui musim yang hebat bersama Real Madrid, kami akan cuba memberi masalah kepada mereka.”
Pemain tengah Manchester United itu melawat kampus bola sepak Real Oviedo pada rehat musim panas ini dan berkata musim lepas adalah musim yang baik untuk semua pihak di Old Trafford.
Real Oviedo adalah kelab di mana Juan Mata memulakan karier profesionalnya di dalam bola sepak.
“Kami melalui kempen yang cemerlang dalam pertandingan Europa League, menewaskan Ajax di perlawanan akhir dan membuka laluan untuk kami ke pertandingan UCL,” sambung Mata.
Mata turut menyentuh perpindahan Romelu Lukaku ke Manchester United yang baru disahkan pada hujung minggu yang lalu.
“Kami beraksi bersama ketika di Chelsea, dan Lukaku melalui musim yang hebat di Everton pada musim lalu,” ujar Mata.
“Lukaku sangat mengenali Mourinho, telah menjaringkan banyak gol, dan kami berharap ia kekal sebegitu agar Manchester United mampu mencabar kejuaraan liga pada musim hadapan.”
Piala Dunia 2018 di Rusia akan berlangsung pada musim panas tahun hadapan dan Juan Mata turut menyatakan hasrat beliau untuk beraksi bersama Sepanyol di kejohanan tersebut.
Juan Mata turut berharap mampu meyakinkan pengendali Sepanyol, Julen Lopetegui untuk menyenaraikannya ke dalam skuad Sepanyol untuk kejohanan tersebut.
“Saya sentiasa berkata bahawa saya amat bertuah untuk melalui pengalaman lalu bersama Sepanyol.”
“Ia adalah momen paling bersejarah dalam bola sepak Sepanyol, namun saya masih dahagakan momen itu. Saya berharap akan melalui musim yang baik dan boleh terlibat dalam kempen Sepanyol di Piala Dunia pada tahun hadapan,” jelas Mata.
Juan Mata turut memberi penghargaan kepada bekas jurulatih, Vicente del Bosque, pengendali yang membawa Sepanyol ke era kegemilangan di pentas antarabangsa.
“Saya telah mencapai sesuatu yang cukup bersejarah dan harus berterima kasih kepada beliau,” ujar Mata menutup bicara.
Sumber:
1. Marca (2017: Mata: “Desde que el Madrid ganó la duodécima, Mou está pensando en como ganarles”;
http://www.marca.com/futbol/premier-league/2017/07/07/595f9233268e3e85268b4577.html
2. Jamie Smith, Goal (2017): Mata looking forward to reuniting with Lukaku at Man Utd;
http://www.goal.com/en/news/11/transfer-zone/2017/07/08/36915202/mata-looking-forward-to-reuniting-with-lukaku-at-man-utd