Isu Pengadil Liga Malaysia: Ceritera Tanpa Kesudahan

Dalam masa hanya selang 3 hari, mutu pengadilan bola sepak negara dipersoalkan serta diperdebatkan dengan hangat oleh peminat bola sepak tempatan.

Pertamanya ketika perlawanan melibatkan Pahang dan Negeri Sembilan di mana jurulatih Pahang, Dollah Salleh mempersoalkan mengenai kesalahan yang dilakukan pemainnya hingga pengadil perlawanan menghadiahkan sepakan penalti kepada Negeri Sembilan di hujung aksi perlawanan di Stadium Darul Makmur.

Belum reda kisah tersebut, peminat bola sepak tempatan disajikan satu lagi tindakan kontroversi oleh pengadil perlawanan antara Terengganu dengan JDT yang tidak memberikan sepakan penalti kepada Terengganu setelah pemain JDT memegang bola dalam kotak penalti.

Insiden yang seterusnya mencetuskan perdebatan hangat antara peminat bola sepak tempatan yang akhirnya membawa kepada laporan bertulis tentang kelemahan pengadil perlawanan tersebut oleh PBSNT.

Persoalannya, sampai bilakah mutu pengadilan akan terus diperdebatkan susulan kontroversi demi kontroversi yang berlaku saban perlawanan?

Kisah Sistem VAR yang ditangguhkan

Ekoran kecaman demi kecaman yang diterima sistem pengadilan bola sepak negara, maka pada April 2017 FAM mencadangkan penggunaan sistem video assistant referee (VAR) untuk digunapakai mulai musim depan.

Cadangan yang mendapat sambutan baik bagi membantu menyelesaikan kontroversi acap kali perlawanan bola sepak di negara kita.

Namun begitu, hanya dua bulan setelah cadangan tersebut dilontarkan FAM membuat penangguhan terhadap tarikh pelaksanaannya, cadangan sistem VAR mula digunakan dalam saingan bola sepak tempatan yang pada asalnya akan digunakan bermula 2018 ditangguhkan ke 2019.

Alasannya, sistem tersebut masih dalam peringkat penilaian penggunaannya di pelbagai peringkat saingan bola sepak dunia.

Ironinya alasan tersebut dibuat setelah dua wakil FAM, Pengurus Projek VAR dan Ketua Unit Pengadil FAM menjelajah ke beberapa tempat.

Mereka menjelajah bagi mengikuti taklimat, perbincangan dengan pelbagai pihak yang berpengalaman menggunakan sistem tersebut dan akhirnya meninjau pelaksanaan sistem VAR di saingan Piala Dunia B-20 yang berlangsung di Korea Selatan Mei lalu.

Sebagai peminat bola sepak, sememangnya kita tidak mempunyai pengetahuan luas tentang aplikasi serta kesan sistem VAR dalam pengadilan sesuatu perlawanan bola sepak.

Namun, berdasarkan apa yang dilihat ketika saingan Piala Konfederasi jelas penggunaan sistem VAR sedikit sebanyak mampu untuk menjadi penyelesaian kepada bantahan ke atas keputusan kontroversi pengadil dalam sesebuah perlawanan.

Hal ini masih boleh menjadi solusi terbaik meskipun keputusan akhir kepada sesuatu insiden masih bergantung kepada pengadil perlawanan.

Dalam masa yang sama, rungutan serta sungutan perdebatan berhubung isu kepengadilan sesuatu perlawanan yang kerap terjadi antara pemain dan juga pengurusan pasukan yang bertanding dapat diatasi.

Dan pastinya, perdebatan antara peminat bola sepak sedikit sebanyak turut dapat dikurangkan.

Harapan seorang peminat bola sepak

Penat sudah rasanya melihat perdebatan demi perdebatan yang berlaku sesama peminat ekoran keputusan pengadil dalam sesuatu perlawanan.

Muak sudah rasanya membaca laporan media massa yang dilakukan pengurusan pasukan ekoran insiden kontroversi melibatkan pasukan masing-masing.

Dan jelik sudah rasanya melihat pernyataan demi pernyataan dilakukan FAM bagi membela sistem pengadilan bola sepak tempatan.

Persoalannya, sampai bila semua hal ini akan terus terjadi?

Jawapannya hanya ada pada seorang insan yang bergelar pengadil perlawanan bola sepak serta FAM sendiri.

Nota editor: Artikel ini merupakan hasil tulisan Nora Wahid. Jika anda mahu tulisan anda dibaca oleh jutaan rakyat Malaysia, hantar artikel 300 patah perkataan anda dalam format MS Word ke [email protected] .

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN