Anugerah Pemain Terbaik Bulanan PFAM untuk bulan April 2016 adalah testimoni betapa jauhnya Juan Martin Lucero telah meninggalkan prestasi bulan Februari dan Mac beliau.
Melihat prestasi Lucero sekarang, kita tak dapat mengelak daripada membuat kesimpulan: 3 gol dalam tempoh 2 bulan tersebut bukanlah bermakna Lucero penyerang yang tak bagus.
Sebaliknya dalam tempoh tersebut, beliau sedang mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan JDT. Atau memanaskan ‘enjin’ kata orang kita.
Setibanya bulan April, Lucero yang dikenali sebagai El Gato (Si Kucing) bagaikan El Pantera. Di Argentina, beliau mungkin dipanggil si kucing. Tetapi di Malaysia, beliau adalah harimau kumbang. Senyap tetapi berbahaya.
Profail
Nama: Juan Martin Lucero
Nasionaliti: Argentina
Umur: 24 Tahun
Pasukan: Johor Darul Ta’zim I
Posisi: Striker (modern no.9), Second Striker, Attacking Midfielder
April: masa Lucero ‘mencari mangsa’
Daripada 7 perlawanan domestik (Liga Super dan Piala FA) sepanjang April, Lucero telah terlibat secara langsung dengan gol JDT sama ada sebagai penjaring atau penyumbang jaringan sebanyak 10 kali (9 gol, 1 assist).
Ia adalah jumlah yang sangat tinggi. Tetapi paling mengagumkan adalah tahap konsistensi beliau.
Lucero berjaya meledak gol dalam kesemua 7 perlawanan domestik sepanjang April – 4 daripadanya merupakan perlawanan Liga Super manakala 3 lagi perlawanan Piala FA.
Mangsa pertama Lucero dalam Liga Super adalah Perak, di mana beliau muncul sebagai match winner selepas menjaringkan 2 gol.
Beliau kemudiannya meledak double kedua beliau dalam masa 3 hari apabila menjaringkan 2 gol ketika JDT terikat 2-2 di Kota Bharu dengan Kelantan.
Ketika JDT berpesta gol di Larkin untuk menewaskan Sarawak 5-2, Lucero turut menyumbang 1 gol. 3 hari kemudian di Stadium Darul Aman, Lucero sekali lagi menjaringkan gol. Kali ini beliau membantu JDT seri 1-1.
Ini bermakna dalam 4 perlawanan Liga Super pada bulan April sahaja, Lucero telah menjaringkan 6 gol – memberikan nisbah 1.5 gol untuk setiap perlawanan Liga Super.
Dalam saingan Piala FA, Lucero juga cemerlang dengan 3 gol dalam 3 perlawanan.
- suku Akhir 2nd Leg Piala FA vs PDRM (1 gol, JDT menang 5-2)
- separuh Akhir 1st Leg Piala FA vs Kedah (1 gol, JDT kalah 1-2)
- separuh Akhir 2nd Leg Piala FA vs Kedah (1 gol & 1 assist, JDT menang 3-1)
Pengganti semulajadi Luciano Figueroa
Kemampuan Mario Gomez untuk menghasilkan ekosistem yang menghidupkan Lucero di dalam pasukan ini adalah salah satu kenapa Lucero berjaya membuatkan penyokong JDT melupakan kehilangan Luciano Figueroa.
Sebagai pemain no.9 moden, Lucero tidak terlalu gemar menunggu di dalam kotak penalti untuk menerima servis daripada midfield seperti target man klasik.
Sebaliknya beliau boleh mencipta gol untuk diri sendiri atau untuk rakan lain. Ini kerana beliau memiliki fizikal, skil dan teknik penyudah yang baik terutama ketika menerima hantaran through ball.
Kekuatan lain pemain ini adalah, kemampuan untuk menewaskan perangkap ofsaid dengan berkesan dan juga memiliki kekuatan untuk memenangi aerial duel.
Chemistry spark beliau dengan pemenang anugerah Pemain Terbaik Bulanan PFAM bulan Mac 2016, Jorge Pereyra Diaz juga punca peningkatan prestasinya.
Tahniah kami ucapkan kepada Juan Martin Lucero. Anda sememangnya layak diiktiraf sebagai pemain terbaik bulanan PFAM untuk bulan April 2016!
Baca juga: Adakah Pasukan Kita Hanya Tahu Guna Sistem Klasik Target Man Sebagai Sistem Serangan?