Adakah Pasukan Kita Hanya Tahu Guna Sistem Klasik Target Man Sebagai Sistem Serangan?

Melihat sistem serangan pasukan dalam liga di Malaysia pada musim ini, saya mendapati sistem target man yang menggunakan penyerang tinggi dan kuat, masih lagi menjadi pegangan utama kebanyakan pasukan.

Maka tak hairanlah ramai ketua jurulatih pasukan akan memilih pemain import untuk menggalas tugas target man. Mengapa tidak? Fizikal pemain tempatan agak kurang sesuai bermain sebagai target man.

Serangan pasukan di liga Malaysia tiada variasi

Apabila bercerita soal variasi serangan pasukan liga di Malaysia, sukar untuk kita mencari pasukan yang benar-benar memanfaatkan teori taktikal bola sepak yang moden.

Perbezaan yang paling jelas pun hanyalah sama ada mereka menggunakan sistem dua penyerang (4-4-2, 3-5-2) atau tunggal (4-2-3-1, 4-3-3).

Ramai penyerang tempatan yang merupakan pemain no.9 moden telah ditolak ke posisi lain – kebiasannya sebagai pemain sayap – untuk memberikan laluan kepada penyerang import.

Ini menyebabkan skuad kebangsaan kita semakin kemarau penyerang!

Sumber: Kamarul Akhir/asiana.my
Sumber: Kamarul Akhir / asiana.my

Sistem serangan Selangor

Jika pada musim lepas Selangor pernah menggunakan sistem dua target man yang menggandingkan Afiq Azmi dan Guilherme de Paula, pada musim ini di bawah ketua jurulatih baru, Zainal Abidin Hassan dilihat cuba ‘memperbaikinya’.

Dengan menggunakan acuan (template) yang hampir sama dengan pasukan lamanya Pahang pada musim lepas, Zainal mengurus fungsi taktikal Mauro Olivi dan Patrick Ronaldinho sepertimana beliau mengurus fungsi taktikal Dickson Nwakaeme dan Matias Conti.

Seperti Nwakaeme (gambar bawah) yang menyokong Conti, Olivi mempunyai fungsi bebas (free role) yang menyokong Ronaldinho.

Sumber: Kamarul Akhir / asiana.my
Sumber: Kamarul Akhir / asiana.my

Jika anda seperti Zainal, jurulatih yang sentiasa dikurniakan target man yang sebagus Patrick Ronaldinho, Matias Conti dan Dickson Nwakaeme, pasukan anda tidak akan mempunyai banyak masalah.

Tetapi apa yang akan terjadi jika target man import anda yang dibayar dengan gaji mahal tidak mampu memberikan sumbangan sepatutnya?

Apabila target man gagal

Ketika ini, kebanyakan pasukan bola sepak Malaysia sedang memberi jawapan salah kepada soalan: bagaimana untuk mencipta pasukan bola sepak yang berjaya?

Percaya atau tidak, ketika ini pasukan-pasukan di Malaysia percaya soal mendapatkan target man import terbaik adalah penentu kejayaan pasukan.

Jika sesebuah pasukan gagal mendapatkan target man import yang bagus, ia bakal mengundang masalah besar. Anda boleh tanya Haji Abdul Rahman (Terengganu), Azraai Khor (Kelantan) dan B. Sathianathan (ATM) yang ‘direhatkan’ pada musim lepas.

Malah tak keterlaluan untuk kita katakan bahawa kejayaan karier Azraai Khor di Kedah dan B. Sathianathan di ATM banyak bergantung kepada kehebatan target man import mereka, Marlon Alex James.

Apabila mereka gagal mendapatkan target man import sebaik Marlon Alex James, mereka gagal mengulangi zaman kegemilangan mereka.

Adakah kemampuan jurulatih tempatan kita begitu terhad sehingga mereka tidak boleh mengajar pemain bermain dengan falsafah bola sepak lain yang tak memerlukan big center forward?

Adaptasi Selangor dan JDT apabila target man mereka gagal

Musim lepas ramai penyokong Selangor mengecam Mehmet Durakovic yang dilihat berterusan mempertahankan Guilherme de Paula dalam kesebelasan utamanya disebalik persembahan sederhana penyerang Brazil tersebut.

Ketika jurulatih lain mungkin akan mula mencari pengganti baru, Mehmet beradaptasi. Beliau menggalakkan ‘active exchange flanker system‘, di mana Andik Vermansyah dan Ahmad Hazwan Bakri (gambar bawah) digalakkan bertukar-tukar sayap.

Sumber: Kamarul Akhir / asiana.my
Sumber: Kamarul Akhir / asiana.my

Sistem ini terbukti berjaya menambah sengat serangan Selangor ketika target man mereka kurang memberikan impak.

Musim ini, JDT pula berdepan masalah sama. Selepas mendapati Paulo Rangel bukanlah penyerang yang Mario Gomez mahukan, Juan Martin Lucero pula dipilih sebagai target man baru.

Tetapi berdasarkan pemerhatian saya, Lucero bukanlah seorang penyerang dari acuan target man. Sebaliknya beliau adalah pemain acuan no.9 moden.

Satu-satunya sebab JDT dapat menyembunyikan kelemahan Lucero sebagai target man adalah kebolehan Jorge Pereyra Diaz yang mampu menjaringkan gol dari posisi penyerang kedua.

Impak kebergantungan sistem target man kepada bola sepak kita

Di Pulau Pinang, kita mempunyai Faiz Subri. Di Felda United, kita mempunyai Hadin Azman. Melaka United mempunyai Nurshamil Abdul Ghani.

Kita mempunyai penyerang tempatan tetapi mereka tak dapat membuktikan kebolehan mereka jika jurulatih kita terlalu ‘skema’ dan berkeras untuk menggunakan target man import.

Yang merana adalah pasukan kebangsaan kita kerana akhirnya, kita terpaksa bergantung kepada Amri Yahyah dan Safee Sali – dua pemain yang sudah melepasi zaman kemuncak mereka – sebagai penyerang skuad kebangsaan.

Kita pernah mempunyai false nine seperti Ashaari Shamsuddin yang ada kemampuan semula jadi untuk menjaringkan gol. Tetapi beliau gagal diberikan peluang untuk bermain dalam sistem tersebut ketika waktu puncak karier beliau.

Malah penyerang seperti Nor Farhan Mohamad juga kadang-kala dipaksa bermain di bahagian tengah. Semuanya gara-gara untuk memastikan Gilmar dan Erwin Carillo dapat bermain sebagai penyerang.

Saya taklah terlalu naif untuk menyalahkan penyerang import atas kegagalan penyerang tempatan kita.

Tetapi dalam pada masa yang sama, saya agak terkilan dengan standard kejurulatihan dan pakar taktikal pasukan kita yang sentiasa merasakan: pasukan yang lengkap perlu ada 2 target man import.

Persekitaran liga kita masih diselubungi kejahilan tentang variasi tugas taktikal penyerang – dari target man, false no.9, trequartista, hinggalah kepada modern no.9.

Baca juga: Mengapa Menyalahkan Kegagalan Penyerang Tempatan Atas Polisi Pemain Import Adalah Idea Bodoh