Jualan tiket untuk aksi persahabatan antara Malaysia dan Kepualauan Solomon kini telah menghampiri jumlah lima angka.
Aksi yang bakal diadakan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak dekat Terengganu ini menurut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), telah mencatatkan jualan tiket sebanyak 7,750 setakat tengah hari.
Jualan tiket itu dijangka akan bertambah apabila perlawanan semakin menghampiri waktu sepak mulanya.
Walaupun ada penyokong yang mahukan jualan tiket fizikal, namun FAM tetap kekal dengan keputusan untuk menjualnya menerusi atas talian di laman sesawang Ticket Hotline.
Sungguhpun begitu, jumlah jualan ini dilihat cukup baik untuk sesebuah perlawanan persahabatan yang diadakan pada hari bekerja dan pertama kalinya diadakan di Pantai Timur selepas lebih 10 tahun.
Jumlah kehadiran ini dijangka akan melebihi apa yang diperoleh sewaktu Harimau Malaya bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri. Ketika itu, Malaysia menentang Hong Kong dan Maldives.
Masih lagi ada masa untuk anda mendapatkan tiket bagi memenuhkan SSMZA pada malam dan mengalukan kehadiran Harimau Malaya ke Pantai Timur.
Dijangka pemain-pemain yang sering menjadi dambaan warga Terengganu seperti Safawi Rasid, Faisal Halim dan Azam Azmi akan diturunkan dalam usaha Kim Pan-gon mencari kemenangan.
Selepas bertemu Kepulauan Solomon, Malaysia akan menentang Papua New Guinea di stadium yang sama pada 20 Jun ini.
Ayuh Harimau Malaya!