Perkhabaran mengenai kecederaan yang dialami penyerang Real Madrid, Luka Jovic, telah disambut dengan komen-komen sinis para penyokong kelab tersebut antaranya meminta supaya Los Blancos untuk menjual sahaja pemain tersebut – sekiranya perlu.
Disebalik nilai perpindahannya yang agak besar iaitu €65 juta, bekas penyerang yang cemerlang bersama Eintracht Frankfurt itu dilihat gagal menyerlah dan hanya terlibat dalam 30 peratus perlawanan – meledak dua gol dan membuat dua bantuan gol.
Ketika semua pasukan tidak boleh berlatih dan hanya membuat latihan di rumah akibat penularan pandemik COVID-19, malah hampir semua pertandingan di seluruh dunia tertangguh, Luka Jovic tiba-tiba telah mengalami kecederaan serius di tumitnya.
Dengan sumbangannya bersama pasukan yang terhad serta dilihat kurang memberi impak, penyerang berusia 22 tahun ini pula mungkin bakal berehat dalam jangka masa yang lama. Ia merupakan situasi yang serba tidak kena buat Luka Jovic ketika ini.
Bermain bersama Eintracht Frankfurt musim lalu, penyerang kelahiran Serbia ini berhasil meledak 27 gol dan membuat tujuh bantuan gol sehingga membantunya merealisasikan perpindahan ke gergasi Sepanyol itu dengan nilai yang agak tinggi.
Pemain tersebut telah dibenarkan untuk pulang ke negaranya sebelum Sepanyol mengenakan arahan sekatan keluar masuk yang ketat. Beliau kemudiannya telah ditangkap atas kesalahan melanggar arahan yang sama di Serbia, namun dilepaskan.
Dalam pada itu, Real Madrid dalam kenyataan rasmi telah memaklumkan mengenai kecederaan yang dialami pemain tersebut dan menjangkakan tujuh minggu sebagai proses pemulihan kecederaannya. Ianya telah dikesan pada Isnin lalu.
La Liga dijangkakan akan dilangsungkan semula pada pertengahan Jun dengan semua perlawanan akan dilangsung secara tertutup sehingga musim ini berakhir.
KREDIT FEATURED IMAGE: FOTMOB