Quantcast

KAJIAN & FAKTA

Luka Jovic: Bintang Baharu Los Blancos Yang Melakukan Debut Profesional Pada Usia 16 Tahun

Selepas mendapatkan khidmat Eder Militao dan Rodrygo, Real Madrid terus mengorak langkah dalam memperkuatkan pasukan menjelang musim baharu apabila berjaya membawa masuk pemain skuad kebangsaan Serbia, Luka Jovic.

Baru berusia 21 tahun, Real Madrid seolah-olah memiliki seluruh kepercayaan untuk mendapatkan penyerang muda dari Serbia ini. Siapakah Luka Jovic?

Debut profesional

Karier profesional Jovic sebagai pemain profesional bermula bersama Red Star Belgrade. Beliau tidak menunggu lama untuk memberikan impak kepada kelab. Penampilan pertama bersama Red Star Belgrade ialah pada 2014, apabila Jovic tampil sebagai pemain gantian menentang FK Vojvodina pada usia 16 tahun.

Tidak mengecewakan, Jovic menjaringkan gol penyamaan pada minit akhir perlawanan untuk mengikat Vojvodina – untuk menjadi pemain termuda di dalam sejarah kelab Serbia itu untuk menjaringkan gol.

Sejak daripada itu, nama Jovic mulai mendapat perhatian media tempatan. Disebabkan isu kewangan, Red Star terpaksa melepaskan Jovic pada 2016. Pada ketika itu, beliau sudah menghasilkan 12 gol dan empat bantuan gol sepanjang tempoh dua tahun sejak tampil kali pertama pada 2014.

Dari Portugal ke Jerman

Red Star menjual Jovic kepada Benfica, namun pada usia yang muda, pemain ini sukar menghasilkan impak yang sama dipamerkan oleh beliau sebelum ini di Lisbon.

Di dalam skuad Benfica pada ketika itu, beliau berada di belakang Jonas, Raul Jimenez dan Kostas Mitroglou dalam senarai pilihan untuk kesebelasan utama.

Ini memberikan kesukaran buat Jovic berada di dalam kesebelasan utama sepanjang musim 2017/18 itu.

Tempoh beliau bersama Benfica turut tidak dibantu oleh isu disiplin apabila didapati pergi ke kelab malam, dua hari sebelum perlawanan. Selepas hanya tampil empat kali untuk kelab Portugal itu, Benfica akhirnya meminjamkan Jovic ke Eintracht Frankfurt melibatkan perjanjian selama dua tahun.

Radamel Falcao Serbia

Seperti kebiasaan, mana-mana pemain muda berbakat akan dikaitkan dengan bintang-bintang bola sepak tertentu sebagai perbandingan. Bagi Pengarah Red Star Belgrade, Zvezdan Terzic, Jovic digelar oleh beliau sebagai ‘Radamel Falcao Serbia’. Secara kebetulan, bintang Colombia itu juga adalah idola kepada Jovic.

Perbandingan sebegitu sering kali dipandang sebelah mata, namun selepas prestasi yang dipamerkan oleh Jovic di Bundesliga pada musim lalu, maka tidak hairanlah mengapa pemain muda ini mendapat pengiktirafan sebegitu.

LISBON, PORTUGAL – APRIL 11: Luka Jovic of Eintracht Frankfurt battles for possession with Jardel of Benfica during the UEFA Europa League Quarter Final First Leg match between Benfica and Eintracht Frankfurt at Estadio do Sport Lisboa e Benfica on April 11, 2019 in Lisbon, Portugal. (Photo by Octavio Passos/Getty Images)

Satu perkara yang pasti ialah Jovic sudah tentu mahu meneruskan sentuhan beliau sepertimana yang dipamerkan oleh Falcao di Atletico Madrid, dan bukan ketika pemain itu bersama Manchester United dan juga Chelsea.

Prolifik di peringkat antarabangsa

Di peringkat antarabangsa, Jovic mungkin hanya menjaringkan satu gol setakat ini, setelah tampil sebanyak empat kali untuk skuad senior kebangsaan Serbia, Tetapi jika rekod bersama Serbia di peringkat umur diambil kira, jelas sekali beliau adalah seoramh penyerang yang amat prolifik.

Tampil di dalam 59 perlawanan di pelbagai peringkat umur sejak 2012, Jovic telah merekodkan 44 gol keseluruhan. Itu sudah cukup untuk menggambarkan bakat dan sentuha penyudah yang beliau miliki.

WOLFSBURG, GERMANY – MARCH 20: Luka Jovic of Serbia battles for possession with Lukas Klostrmann of Germany during the International Friendly match between Germany and Serbia at Volkswagen Arena on March 20, 2019 in Wolfsburg, Germany. (Photo by Martin Rose/Bongarts/Getty Images,)

Prestasi beliau sepanjang musim 2017/18 di Jerman sudah cukup untuk beliau dipanggil menyertai skuad Serbia ke Piala Dunia di Rusia – walaupun belum pernah beraksi di peringkat senior sebelum itu. Penampilan pertama untuk negaranya ialah sebagai pemain gantian dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang Brazil.

Detik keemasan

Jovic mungkin jenis pemain yang gemar mencipta rekod untuk setiap kelab yang disertainya. Pada Oktober lalu, Jovic mencuri tumpuan apabila menjaringkan lima gol untuk Frankfurt membelasah Fortuna Duseeldorf 7-1.

FRANKFURT AM MAIN, GERMANY – NOVEMBER 11: Luka Jovic of Eintracht Frankfurt celebrates after scoring his team’s second goal during the Bundesliga match between Eintracht Frankfurt and FC Schalke 04 at Commerzbank-Arena on November 11, 2018 in Frankfurt am Main, Germany. (Photo by Alex Grimm/Bongarts/Getty Images)

Ini menjadikan beliau sebagai pemain termuda di Bundesliga untuk berbuat demikian – hanya kurang satu gol untuk menyamai rekod sepanjang zaman milik Gerd Muller yang menyumbat enam gol dalam satu perlawanan. Jersi yang dipakai oleh Jovic untuk perlawanan tersebut sudah pun diabadikan di muzium milik kelab.

Rumusan

Jovic telah melalui musim yang boleh dianggap berhasil pada musim pertama bersama Frankfurt – menjaringkan sembilan gol dalam semua pertandingan – namun musim 2018/19 adalah dimana nama beliau mulai mencuri tumpuan kelab-kelab besar Eropah.

Beliau mengakhiri saingan Bundesliga musim ini dengan 17 gol – hanya lima gol kurang dari penjaring terbanyak, Robert Lewandowski – selain turut menjaringkan 10 gol di UEFA Europa League sebelum disingkirkan oleh Chelsea di separuh akhir.

Pemergian Niko Kovac ke Bayern Munich, dan ketibaan Adi Hutter yang memegang falsafah bola sepak menyerang dikatakan menjadi perangsang utama untuk Jovic mengekspresikan diri dengan lebih bebas. Jika Zinedine Zidane melakukan perkara yang sama terhadap pemain ini, kita juga berkemungkinan akan melihat kebangkitan satu lagi legenda bola sepak di Santiaga Bernabeu pada masa akan datang.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!