Pengurus Tottenham Hotspur, Jose Mourinho jelas cukup kecewa dengan keputusan Video Assistant Referee (VAR) yang menafikan jaringan penyamaan dihasilkan Harry Kane ketika aksi menentang Sheffield United di Bramall Lane, awal pagi tadi.
Lebih perit untuk ditelan oleh Mourinho apabila anak buahnya kecundang 1-3 yang menyaksikan Spurs tewas buat kali ke-11 dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini.
Pasukan pelawat tersentak pada minit ke-31 menerusi jaringan pemain muda, Sander Berge dan hanya berselang dua minit kemudian, Kane berjaya menyamakan kedudukan tetapi keputusan VAR telah menarik balik jaringan tersebut susulan dakwaan bola terlebih dahulu terkena tangan Lucas Moura.
Mourinho yang berang dengan keputusan tersebut berpendapat teknologi baharu itu telah menjadi perkara buruk dalam kancah bola sepak pada ketika ini.
”Saya merasakan saya tidak boleh menyatakan apa yang saya rasa. Tiada lagi pengadil. Lelaki yang berada di tengah padang itu adalah pembantu pengadil, lelaki dan wanita dengan [memegang] bendera itu ketika ini adalah pembantu kepada pembantu pengadil.”
”Pengadil seharusnya menjadi orang yang bertanggungjawab di dalam padang. Kami menuju ke arah yang benar-benar buruk [VAR] buat sukan yang begitu cantik ini,” ujar Mourinho menurut laporan Goal.
Mourinho dalam pada itu turut mengakui anak buahnya sedikit terkesan selepas jaringan Harry Kane dibatalkan pengadil perlawanan.
”Kami seharusnya boleh melakukan dengan lebih baik lagi. Kami perlu mempunyai kekuatan mental untuk mengatasi apa yang telah terjadi dalam perlawanan itu. Mental kami tidak boleh mati selepas keputusan yang dibuat oleh Micheal Oliver itu.”
”Saya merasakan pasukan telah bermain dengan baik pada separuh masa pertama. Kami menjaringkan gol dan kemudiannya kami terlalu letih. Saya merasakan sekarang saya mengetahui lebih banyak mengenai profil pemain saya.”
”Saya tahu ia [kekalahan] sukar untuk diterima, dalam separuh masa kedua, kami mengawal bola tetapi kami tidak mempunyai peluang untuk mengubah permainan.”
”Kami bermain dengan pasukan yang begitu menyerang dengan Gio [Lo Celso] dan Moussa [Sissoko] sebagai pemain tengah. Kami perlu untuk lebih mencipta peluang dan kami melakukannya. Saya perlu mengakuinya bahawa saya kecewa dengan keputusan ini,” tambah Mourinho lagi.
Dengan kekalahan itu, Tottenham kini berada di tangga kesembilan dengan 45 mata, ketinggalan satu mata di belakang Arsenal yang menghuni tangga kelapan.