Jose Mourinho bukan sahaja merasai kekalahan keempat semenjak membimbing Tottenham Hotspur, sebaliknya beliau turut dilayangkan kad kuning pada perlawanan menentang Southampton, awal pagi tadi.
Layangan kad tersebut bukanlah kerana Mourinho mempersoalkan keputusan pengadil tetapi disebabkan tindakan ‘selamba’ beliau yang meninjau taktikal pasukan lawan.
Secara kebetulan, perlakuan Mourinho itu mendapat perhatian kamera siaran langsung yang sempat merakamkan aksi bersahaja pengendali kelahiran Setubal, Portugal tersebut.
Mourinho dalam sidang media selepas perlawanan mengakui bahawa beliau selayaknya mendapat kad kuning daripada pengadil perlawanan, Mike Dean.
Tetapi, seperti kebiasaan beliau pasti mempunyai alasan yang boleh dilabel sebagai ‘meninggi diri’ dengan mengatakan beliau kurang ajar kepada orang yang bodoh.
”Saya memang kurang ajar. Tetapi saya kurang ajar dengan orang yang bodoh.”
”Saya selayaknya menerima kad kuning tersebut. Terdapat perang mulut saya bersama orang [staff kejurulatihan Southampton] itu.
Pertemuan menentang Southampton di St. Mary’s Stadium itu menyaksikan Tottenham Hotspur tumpas 0-1 hasil jaringan tunggal penyerang berbisa, Danny Ings.
Tottenham Hotspur kini menghuni tangga keenam dengan 30 mata berikutan lapan kemenangan, enam keputusan seri dan tujuh kekalahan selepas mengharungi 21 perlawanan.
Kredit foto: CLIVE MASON/GETTY