Pengurus Tottenham Hotspur, Jose Mourinho mendedahkan bahawa beliau memahami ‘kesakitan’ yang dialami rakan sejawatannya, Ole Gunnar Solskjaer selepas Manchester United tumbang 1-6 di Old Trafford, awal pagi tadi.
Kekalahan besar itu juga turut menyaksikan The Red Devils tewas dua perlawanan di tempat sendiri dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2020/21 walaupun aksi liga baru memasuki perlawanan ketiga buat kelab tersebut.
Daripada tiga perlawanan tersebut, Manchester United telah dibolosi 11 jaringan dan ia sudah pasti merupakan masalah yang kian meruncing buat juara EPL 13 kali itu.
Sehubungan dengan itu, Mourinho yang pernah membimbing United jelas bersimpati dengan apa yang telah dilalui oleh Solskjaer terutamanya berhubung dengan kekalahan terbaharu tersebut.
”Saya bersimpati dengan Ole kerana keputusan yang diterimanya [tewas bertemu Spurs],” ujar Mourinho menurut laporan Goal.
”Saya tak ingat sama ada saya pernah tewas dengan enam gol tetapi saya pernah tewas dengan lima gol, empat gol. Saya tahu bagaimana rasanya apabila kami disakiti.”
”Saya tahu sangat penting untuk seorang pengurus yang menang berperilaku dengan cara menunjukkan rasa simpati. Sudah tentu, saya mahu menang, dan sudah tentu saya mahu menang dengan tujuh gol. Jangan salah faham.”
”Tetapi ia merupakan simpati dalam tingkah laku kita. Hari ini dia [mengalami kekalahan], esok saya pula. Sudah tentu, saya berasa simpati dengannya.”
”Saya boleh membayangkan malam ini dia tidak boleh untuk tidur dengan nyenyak. Tetapi itulah kehidupan yang sukar bagi kami.”
Kredit featured image: Carl Recine – Pool/Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Jose Mourinho: