Pengurus Tottenham Hotspur, Jose Mourinho berjanji beliau akan bersabar untuk melihat penyerang utamanya, Harry Kane kembali menyajikan tahap permainan seperti kebiasaan dipamerkannya.
Kane yang mengalami kecederaan panjang kembali diturunkan pada aksi bertemu Manchester United tempoh hari, namun tidak banyak yang dapat dilakukannya meskipun beliau beraksi sepenuh masa pada perlawanan tersebut.
Sehubungan dengan itu, Mourinho mengakui akan memberikan masa buat ketua pasukannya itu untuk kembali menyerlahkan kualiti beliau terutamanya dalam menjadi peledak utama buat pasukan.
Dalam masa yang sama, pengendali kelahiran Portugal itu turut gembira melihat perkembangan Kane sebaik sahaja beliau pulih daripada kecederaan tendon dialaminya pada awal Januari lalu.
”Harry melakukan sesuatu yang luar biasa,” ujar Mourinho menurut laporan dikeluarkan Goal.
”Saya merasakan tiada pemain yang tidak beraksi selama enam bulan dan menjalani pembedahan penting setelah tempoh yang sangat sukar untuk pulih kerana peraturan ‘perintah berkurung’ banyak mempengaruhi proses pemulihan pemain.”
”Tujuh gol dalam 10 perlawanan [di bawah kendalian Mourinho sebelum mengalami kecederaan] akan memberikan purata 14 dalam 10. Jadi sudah tentu, kita perlu untuk menunggu [sentuhan penyudah Kane].”
”Dan hanya kerana satu perlawanan, pada aksi di mana majoriti pemain penyerang dalam Liga Perdana Inggeris bergelut untuk menunjukkan ketajaman penyudah mereka. Untuk membuktikan kualiti yang dimiliki oleh mereka.”
”Orang hanya berpaling kepada Harry. Ini kerana Harry adalah seorang yang istimewa, kerana dengan Harry sesuatu yang kurang dari menjaringkan hatrik adalah sesuatu yang tidak bagus.”
”Tetapi saya tidak seperti itu. Saya tidak menganalisis perkara-perkara seperti ini dengan cara sedemikian. Saya sangat, sangat bersabar. Dia akan mempunyai sepanjang masa yang diperlukan untuk pulih ke tahap normalnya,” tambah Jose Mourinho lagi.