Pengurus Manchester United, Jose Mourinho menyifatkan bahawa pemain tengah berpengaruh, Paul Pogba gembira berada di Old Trafford walaupun terdapat cubaan dari ejennya untuk membawa beliau melangkah kaki meninggalkan pasukan.
Mourinho menegaskan pemain antarabangsa Perancis yang masih dibuai kejayaan menjuarai trofi Piala Dunia itu gembira untuk kembali menyertai pasukan sekalipun dikaitkan dengan perpindahan ke Barcelona dan Juventus.
Walaupun dua kelab besar dunia itu berminat untuk mendapatkan khidmat Pogba, Mourinho ternyata enggan melepaskan pemain berusia 25 tahun itu.
Pengendali dari Portugal itu juga memberikan bayangan Pogba tidak akan disenaraikan pada perlawanan sulung United bertemu Leicester City di Old Trafford.
”Persepsi saya, dia tiba (di sesi latihan) pada hari Isnin, gembira dan bangga serta berkeinginan untuk bekerja.”
”Dia bekerja sangat baik pada Isnin, Selasa, Rabu. Dia merupakan salah seorang ppemain yang perlu saya bercakap dengannya untuk melihat bagaimana fizikal dan mental dirasakannya.”
”Bagaimanapun ia merupakan perbualan yang sama seperti dengan Ashley (Young), (Marouane Fellaini) dan (Jesse) Lingard. Ianya sama.”
”Jika mereka merasakan mampu untuk membantu kami (menentang Leicester), 20 minit, 10 minit, setengah jam. Kami tidak mempunyai banyak penyelesaian dan mahu untuk menghadapi perlawanan dengan segala yang kami ada.”
”Saya melihat Pogba dengan baik tetapi kami memerlukan kata putus daripada sekumpulan kecil ini jika mereka dapat memberikan sumbangan.”
”Kami perlu mencuba dan mendapatkan yang terbaik dari setiap pemain.”