Persembahan buruk pemain tengah Manchester United, Paul Pogba ketika menentang Newcastle United sehingga dikeluarkan pada minit ke-66 perlawanan menimbulkan desas-desus mengenai hubungan Pogba dengan pengendali pasukan itu, Jose Mourinho.
Kedua-dua watak tersebut turut kelihatan bertelagah ketika Manchester United tewas 2-0 di Wembley baru-baru ini, setelah Pogba dikatakan mahu peranan yang lebih untuk membantu bahagian serangan.
Walaubagaimanapun, Mourinho menolak spekulasi daripada laporan media eropah mengenai berlakunya keretakan hubungannya bersama Paul Pogba dan melabelkan laporan itu sebagai penipu besar.
Beliau menegaskan prestasi Pogba sememangnya kurang memberangsangkan sejak beberapa minggu lalu dan pemain itu perlu meningkatkan prestasinya.
“Ia satu pembohongan besar bahawa hubungan kami tidak baik,” kata Mourinho pada sidang akhbar.
“Ia adalah satu pembohongan besar yang mengatakan kami tidak berkomunikasi. Adalah satu pembohongan besar yang kami tidak bersetuju dengan posisinya di dalam pasukan.” katanya.
Pogba sembilan kali membantu untuk gol dan menjaringkan tiga gol dalam 17 penampilan liga. Dia juga bermain dalam lima perlawanan peringkat Eropah dan piala domestik namun bergelut untuk kekal konsisten dalam kempen kecederaan.
“Dia dapat menerima yang dia tidak bermain dengan baik pada perlawanan terakhir, tetapi hanya setakat itu.
“Saya tidak perlu bercakap dengan anda mengenai perbualan saya bersama pemain. Ia adalah masalah saya dan masalah pemain.
“Jadi, jadilah matang dan berkata apa yang kami tahu. Dalam beberapa perlawanan dia tidak bermain dengan baik.” katanya.
Bekas pemain tengah Manchester United, Paul Ince ketika mengulas situasi Pogba di United dan krisis bersama Mourinho berkata beliau tidak terkejut dengan situasi tersebut.
Perlawanan seterusnya untuk Pogba, Mourinho dan Manchester United ialah kunjungan ke Stadium Kirklees untuk berhadapan dengan Huddersfield dalam saingan Piala FA Inggeris, sebelum ke Seville, Sepanyol untuk berhadapan dengan Sevilla di dalam saingan UEFA Champions League empat hari kemudian.
Tatkala semuanya tampak tidak menjadi bagi Manchester United, Mourinho pasti mahu menjauhkan krisis daripada merosakkan saki baki saingan, tatkala gelaran EPL semakin jauh dari dakapan.