BDB Land Bantu NFDP Lahirkan Bakat Baharu Di Kedah

Bekas penaja utama skuad Liga Super Kedah, BDB Land Sdn. Bhd. (BDB Land) telah pun mementeraikan perjanjian penajaan selama setahun untuk Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) di Kedah.

Menurut laporan daripada Kosmo, penajaan tersebut menyaksikan BDB Land, yang juga merupakan anak syarikat Bina Darulaman Berhad (BDB) diiktiraf sebagai Rakan Zon Rasmi NFDP di Kedah selama setahun mulai 1 Januari hingga 31 Di­sember 2018.

Syarikat pembangunan hartanah itu aktif dalam penglibatan sukan di Kedah apabila pernah menaja pasukan Liga Super Kedah tahun lalu serta menganjurkan beberapa aktiviti sukan lain seperti ragbi, futsal dan kriket.

Pengarah Urusan Kumpulan BDB, Datuk Izham Yusoff bercakap kepada Kosmo, penajaan ini adalah untuk melahirkan lebih ramai bakat pelapis dalam kalangan anak Kedah untuk kemajuan bola sepak Malaysia di masa hadapan.

“Kami menyediakan sembilan pusat latihan dengan sekolah-sekolah terpilih di sekitar negeri Kedah sebagai tempat atau platform untuk mereka mengasah bakat.

“Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mergong, Alor Setar telah dipi­lih sebagai pusat latihan yang telah dipersetujui melalui perbincangan de­ngan kerajaan negeri dan Kementerian Belia dan Sukan.

“Setiap pusat latihan dapat menampung seramai 100 orang pemain untuk berlatih dan mengasah bakat mereka oleh tenaga profesional yang telah disediakan,” katanya.

Izham turut berkata pihaknya bersedia membantu NFDP menerusi beberapa program tambahan se­perti klinik bola sepak yang sedang direncanakan.

Pengarah dan Ketua Jurulatih PPBN, Lim Teong Kim. Foto: NFDP Malaysia.

“Pembangunan bola sepak di sebelah utara tanah air masih kurang sedangkan bakat-bakat muda sememangnya ada tetapi usaha untuk mencungkil potensi itu belum diperhebatkan.

“Tanpa kita sedari, mereka memerlukan sokongan padu daripada kerajaan atau pihak swasta bagi menonjolkan bakat diri mereka agar dapat diketengahkan dalam melahirkan lebih ramai atlet untuk sukan tanah air.

“Tidak mustahil anak-anak negeri Kedah dapat mencipta kejutan untuk ber­aksi dalam skuad kebangsaan dan juga kelab-kelab ternama di Eropah sekiranya kita memulakan usaha bersungguh-sungguh bermula daripada sekarang,” ujarnya.

NFDP kini memiliki hampir 23,000 pelatih di 123 buah akademi latihan di seluruh negara dan dijangka mampu mencapai sejumlah 50,000 pelatih menjelang tahun 2020. Pemain-pemain terbaik dari seluruh negara akan ditempatkan di Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari, Gambang, Pahang.

Akademi Mokhtar Dahari, Gambang. Foto: Faliq Firdaus.

Usaha BDB tersebut juga sebagai langkah mengurangkan kebergantungan pasukan terhadap pemain-pemain import selain dapat menjimatkan per­belanjaan sesebuah pasukan.

“Kini, setiap pasukan berlumba-lumba untuk berbelanja besar setiap tahun bagi mendapatkan beberapa pemain import untuk memantapkan skuad masing-masing agar berdaya saing pada Liga Malaysia (Liga M).

“Pada hemat saya, perbelanjaan besar seumpama itu boleh dijimatkan untuk pembangunan bola sepak pada peringkat akar umbi kerana secara tidak langsung kita dapat melahirkan lebih ramai pemain lebih cemerlang jika usaha itu bermula daripada sekarang.

“Kita harus sedar, pemain-pemain yang hebat di dunia tidak akan lahir tanpa sistem pembangunan sistematik,” ujarnya.

Featured image credit: Sukan Sinar

Leave a Reply