Pengurus Manchester United, Jose Mourinho meletakkan sepenuh kepercayaan kepada anak buahnya terutama di posisi tengah walaupun bakal menghadapi cabaran Manchester City tanpa kelibat tonggak utama, Paul Pogba yang dilayangkan kad merah pada perlawanan bertemu Arsenal minggu lalu.
Berikutan kad merah yang diterima akibat kekasaran yang dilakukan pemain antarabangsa Perancis itu terhadap pemain Arsenal, Hector Bellerin pada perlawanan yang menyaksikan United menang 3-1 di Stadium Emirates itu, Pogba bakal berdepan hukuman digantung tiga perlawanan oleh FA England.
Pada sidang media yang lalu, Mourinho mengakui bahawa tiada seorang pemain di Manchester United mempunyai kualiti seperti Pogba dalam pasukan.
Namun pengendali dari Portugal itu yakin bahawa pemain tengah lain dalam skuad United juga mempunyai kualiti tersendiri untuk menggantikan tempat yang ditinggalkan pemain tengah berusia 24 tahun tersebut.
”Mereka (pemain tengah selain dari Pogba) memiliki kualiti mereka yang tersendiri. Marouane Fellaini mampu menjaringkan gol dengan tandukan yang memukau, Nemanja Matic pula boleh melakukan rembatan dari luar kotak penalti dan Ander Hererra juga boleh melakukan perkara yang baik.”
Tetapi kita tidak mempunyai pemain tengah yang mampu mencipta peluang seperti apa yang dilakukan oleh Pogba ketika jaringan ketiga bertemu Arsenal, itu merupakan contoh kami tidak mempunyai kualiti pemain seperti itu.
United mencari kemenangan ke-5 berturut-turut pagi nanti bertemu Manchester City selepas mencatatkan 4 kemenangan pada 4 perlawanan terakhir bertemu Newcastle United, Brighton & Hove Albion, Watford dan Arsenal.
Perlawanan derbi Manchester ini juga penting buat United bagi mengurangkan jarak mata dengan pasukan setempat mereka itu kepada 5 mata sekiranya mencatatkan kemenangan dihadapan penyokong sendiri nanti.