Pengurus Manchester United, Jose Mourinho percaya bahawa England memiliki potensi untuk menjuarai Piala Dunia 2018 di Russia pada musim panas akan datang.
Dalam perlawanan persahabatan baru-baru ini menentang Brazil, skuad bimbingan Gareth Southgate berjaya mengikat juara Piala Dunia tahun 2002 itu dengan keputusan 0-0 sehingga tamat perlawanan yang diadakan di Stadium Wembley.
Sebelum itu, England turut berjaya mengikat Jerman dengan keputusan 0-0.
Dalam 6 perlawanan terakhir, England berjaya mencatatkan rekod yang cemerlang dengan 4 kemenangan dan 2 seri.
Keupayaan mempamerkan prestasi konsisten ketika ini membuatkan pengurus Manchester United itu berpendapat, England mampu mencipta kejutan di Russia nanti.
“Saya fikir England mempunyai peluang besar kerana pemain mereka sangat bagus,” ujar Mourinho kepada SkySports.
“Mereka memiliki generasi pemain yang hebat, dengan usia dan kualiti permainan yang berbeza.”
“Setiap dari mereka memiliki pengalaman yang bagus di kelab masing-masing dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), dan kebanyakkan di antara mereka yang juga turut beraksi di pertandingan UEFA Champions League (UCL).”
“Saya percaya England memiliki potensi untuk melakukan kejutan.”
Namun demikian, Mourinho turut berpendapat bahawa England juga bakal menghadapi cabaran yang hebat dari pasukan-pasukan lain nanti.
“Di Amerika Selatan, ada banyak pasukan kuat. Di Eropah juga ada tiga atau empat pasukan, jadi saya percaya Piala Dunia nanti akan menyajikan banyak kejutan.”
Pasukan England berjaya melayakkan diri ke saingan Piala Dunia 2018 setelah berjaya menewaskan Slovenia 0-1 pada perlawanan ke-9 Kumpulan F pada Oktober lalu.
Gol tunggal kemenangan England dihasilkan melalui penyerang berusia 24 tahun, Harry Kane.
Kali terakhir England berjaya mencipta kejayaan di kejohanan antarabangsa ialah di bumi sendiri dengan menjuarai Piala Dunia pada tahun 1966.
Sejak daripada itu, England tidak pernah menjuarai mana-mana kejohanan antarabangsa. Pencapaian terbaik mereka hanya di peringkat suku akhir pada edisi 2002 dan juga 2006.
Bagaimanakah harapan England dalam Piala Dunia akan datang? Sama-sama kita nantikan.