Penyerang import Johor Darul Ta’zim (JDT), Jorge Pareyra Diaz mengimpikan untuk merangkul Kasut Emas buat kali kedua disamping ingin membantu JDT memenangi semua perlawanan.
“Secara peribadinya saya ingin menamatkan musim depan sebagai penjaring terbanyak sekali lagi seperti musim 2016, tetapi yang paling penting adalah membantu JDT memenangi semua perlawanan.
“Saya gembira untuk kembali beraksi bersama JDT. Saya sayangkan kelab ini dan sangat selesa berada di sini,” ujar penyerang berusia 27 tahun itu kepada Goal.
Pada musim 2016, untuk aksi Liga Super, Diaz telah memenangi Anugerah Kasut Emas selepas meledak 18 gol daripada 22 perlawanan liga.
Ini merupakan tahun ketiga Diaz bersama skuad Harimau Selatan, selepas semusim berhijrah untuk beraksi di Liga MX, Mexico bersama kelab Leon.
Prestasi Diaz di Leon hanyalah ‘suam-suam kuku’ apabila dia hanya turun beraksi dalam sembilan perlawanan, menyumbang satu gol dan satu bantuan gol.
Dengan kembalinya pasangannya pada musim 2015 iaitu Luciano Figueroa, Diaz pasti akan kembali ‘meledak’ pada musim ini walaupun di bawah kendalian ketua jurulatih lain.
Menurut penyerang yang berasal daripada Argentina itu, dia dan Figueroa akan bekerja keras pada musim depan. Pernah beraksi bersama, pasti kedua-dua pemain tidak akan kekok untuk bergandingan.
Sementara itu, Diaz turut menyatakan yang dia telah bersedia sepenuhnya untuk berlatih di bawah kendalian jurulatih, Ulisses Morais, yang menurutnya seorang yang positif.
“Saya baru sahaja dapat mengenali Morais. Dia mempunyai sikap positif dan sering membimbing dari segi taktikal. Saya yakin, JDT akan menjadi lebih kuat musim depan,” jelas Diaz lagi.
Sentuhan pemain yang mendapat gelaran ‘The Beast’ itu sangat dirindui oleh para penyokong JDT selepas gandingan Gabriel Miguel Guerra dan Gonzalo Cabrera gagal menyerlah.
Walaubagaimanapun, Diaz perlu memastikan dirinya tidak lagi terlibat dengan sebarang masalah. Dia pernah melalui masa sukar dengan JDT dan juga Tunku Mahkota Johor (TMJ).
Pada awal tahun 2017, TMJ pernah mendedahkan mengenai sikap diva Diaz yang membawa kepada penamatan kontraknya bersama JDT dalam sidang media bersama penyokong.
Mungkin semua masih ingat kata-kata TMJ ini, “Semenjak saya mengambil alih bola sepak, 2 orang yang paling susah untuk dikawal ialah Pablo Aimar dan Jorge Pereyra Diaz.”