Pertahanan kental Indonesia, Jordi Amat menyifatkan kejayaan negara beliau yang berjaya melayakkan diri ke pusingan 16 terbaik Piala Asia sebagai sesuatu sangat gila buat mereka.
Malah, pemain warisan itu juga memasang ikrar untuk beraksi sehabis baik bagi aksi akan datang dengan pertemuan seterusnya membabitkan Indonesia menentang Australia.
Indonesia bakal menentang salah satu gergasi Asia itu pada 28 Januari ini di Stadium Jasim Bin Hamad dalam misi mereka untuk cuba mencipta kejutan mara ke peringkat lebih jauh.
“Kami telah mencipta sejarah. Ini sungguh gila dan kami berhak untuk mendapatkannya walaupun kami berada di kumpulan sangat sukar namun kami masih berjaya mengatasi cabarannya.
“Kejayaan ini mampu dikecapi hasil daripada sokongan padu daripada para penyokong sepanjang kami mengharungi saingan peringkat Kumpulan D.
“Setiap pemain bekerja keras dan kami semua merupakan satu keluarga. Bagi saya, semua orang memberikan yang terbaik untuk jersi ini.
“Kami sangat bangga kini dan sudah tentu akan memberikan segalanya untuk pusingan 16 terbaik Piala Asia 2023, malah saya yakin kami akan memiliki pertandingan lebih berkualiti,” ujar Jordi menerusi Bola.com.
Untuk rekod peringkat Kumpulan D, Indonesia tampil sebagai pasukan bukan pilihan apabila mereka menjadi negara kedua paling rendah daripada segi kedudukan ranking dunia untuk saingan ini.
Walaupun begitu, aksi pertama menyaksikan Indonesia berjaya menampilkan kualiti permainan menakjubkan walaupun mereka tewas di tangan Iraq menerusi keputusan 1-3.
Bangkit pada aksi kedua, Indonesia akhirnya berjaya meraih tiga mata pertama mereka menerusi keputusan 1-0 selepas skuad kendalian Shin Tae-yong mengatasi cabaran Vietnam.
Pada aksi terakhir Kumpulan D, Sang Garuda berjaya tampil dengan corak permainan lebih menyakinkan untuk mengelak diri daripada menjadi mangsa belasahan ketika mereka tewas kepada Jepun melalui keputusan 1-3.
Hadir dengan ramai pemain muda pada saingan ini, jelas Indonesia langsung tidak terjejas kerana percaturan dilakukan Shin nyata berjaya memberi persaingan sengit.
Indonesia juga menjadi negara kedua dari Asia Tenggara yang mengiringi Thailand untuk ke pusingan 16 terakhir, selepas Malaysia dan Vietnam terkandas di peringkat kumpulan sahaja.