Jordan Pickford Sertai Everton Dengan Harga £30 Juta, Jadi Penjaga Gol Ke-3 Termahal Di Dunia

Selain Fraser Forster (Southampton), Jack Butland (Stoke City) dan Tom Heaton (Burnley), Jordan Pickford merupakan satu lagi penjaga gol England yang mendapat perhatian peminat dan pundit Premier League pada musim lepas.

Meskipun tak mampu menghalang kelabnya daripada tersingkir dari liga, ramai yang bersetuju bahawa aksi Pickford sebenarnya menyelamatkan Sunderland daripada bolos lebih banyak gol.

Penjaga gol berusia 23 tahun ini merupakan penjaga gol ke-2 yang paling banyak melakukan percubaan menyelamat (saves) dalam Premier League. Beliau melakukan 135 ‘saves’ daripada 189 percubaan tepat ke arah pintu golnya.

Ini bermakna Pickford mempunyai kadar ‘saves’ sebanyak 71.4% – kedua paling banyak dalam Premier League selepas Tom Heaton!

(Photo by Darren Walsh/Chelsea FC via Getty Images)

Selain kebolehannya menjadi penjaga gol yang cekap, Pickford turut menjadi pemain kegemaran penyokong Sunderland kerana kebolehannya melakukan sepakan gol yang setepat laser.

Kebolehan ini sangat cocok untuk pasukan yang mengamalkan gaya permainan yang berteraskan serangan balas (counter attack); seperti Everton.

Maka mungkin atas sebab itulah Everton sanggup membayar yuran perpindahan sebanyak £30 juta untuk Jordan Pickford dari sebuah kelab yang baru disingkirkan. Beberapa tahun lalu, angka £30 juta untuk penjaga gol yang belum pernah mencatat kaps antarabangsa dianggap merepek.

Ini menjadikan Pickford sebagai penjaga gol ke-3 di dunia paling mahal selepas Gianluigi Buffon (£33 juta) dan Ederson (£35 juta).

Pickford menandatangani kontrak selama 5 tahun dengan Everton. Dengan yuran perpindahan setinggi itu, kami menjangkakan beliau akan terus menjadi penjaga gol pertama Everton.

Joel Robles akan diturunkan pangkat menjadi penjaga gol ke-2. Manakala Maarten Stekelenburg sebagai penjaga gol ke-3 Everton.

Asal-usul Pickford

Jordan Pickford merupakan produk akademi Sunderland sejak berumur 8 tahun. Sudah dicop sebagai prodigi oleh barisan kejurulatihan Sunderland sejak 2011, Pickford membuat kemunculan pertama dalam skuad senior Sunderland pada Januari 2016.

Sebelum mencipta nama bersama skuad senior Sunderland, Pickford pernah dipinjamkan ke Darlington, Alfreton Town, Burton Albion, Carlisle United, Bradford City dan Preston North End.

Di peringkat antarabangsa, Pickford pernah mewakili England pada peringkat bawah-16, bawah-18, bawah-19, bawah-20 dan bawah-21. Beliau pernah mendapat panggilan skuad senior England tetapi belum pernah membuat penampilan secara rasmi lagi.

Pada musim lepas, Pickford mencatat 29 penampilan dalam Premier League.

Sumber:

1. Sam Lightle, safc.com (2017), Pickford joins Everton

2. FoxSports, foxsports.com, 2016-17 English Premier League Statistics and Leaders: Goalkeeping

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN