Perang psikologi menjelang Derbi Merseyside sudah mula kedengaran selepas penjaga gol Everton, Jordan Pickford melaungkan keyakinan bahawa The Toffees mampu untuk melakukan kejutan ke atas Liverpool.
Selain daripada kehangatan derbi setempat itu, Everton juga sudah pasti tidak mahu memberikan laluan mudah buat Liverpool yang hanya memerlukan enam mata sahaja lagi untuk mengesahkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Sehubungan dengan itu, Pickford mengakui bahawa beliau dan rakan sepasukannya mampu untuk mengecewakan Liverpool pada aksi yang bakal berlangsung di Goodison Park itu.
”Kami mahu untuk memenangi setiap perlawanan yang kami hadapi dan mana-mana perlawanan derbi adalah sangat besar maknanya buat penyokong dan pemain,” ujar Pickford menurut laporan Goal.
”Kami mahu menunjukkan bahawa betapa bagusnya kami dan kami mempunyai peluang untuk menewaskan mereka. Kami tahu mereka adalah pasukan yang bagus, mereka adalah pendahulu saingan liga.”
”Kami hanya mahu memberikan yang terbaik dan cuba untuk menewaskan mereka.”
”Kami tahu bahawa kami mempunyai kemampuan dalam pasukan ini untuk menumpaskan mereka. Kami hanya mahu melakukannya untuk diri sendiri dan juga penyokong kami,” tambah Pickford lagi.
Aksi pusingan pertama yang diadakan pada 5 Disember 2019 menyaksikan Pickford dibolosi lima gol selepas pasukannya tumbang 2-5 di Anfield.
Amat menarik untuk disaksikan pertembungan yang bakal berlangsung pada 22 Jun itu kerana kemenangan akan semakin mendekatkan Liverpool dengan kejuaraan Liga Perdana Inggeris setelah sekian lama menanti.
Manakala jika keputusan sebaliknya berlaku, The Reds perlu terus menunggu enam mata berharga [kejuaraan] tersebut di mana dua aksi seterusnya pula adalah berdepan Crystal Palace di laman sendiri dan berkunjung ke Etihad Stadium untuk berdepan Manchester City.