Penyerang Terengganu II, Jordan Mintah yang tampil baik di saingan Piala Malaysia 2021 untuk skuad utama meluahkan rasa ‘tertipu’ apabila Terengganu dijangka membawa masuk Kipre Tchetche selepas Kpah Sherman.
Kpah Sherman telah sah menyarung jersi Terengganu untuk saingan musim hadapan selepas meninggalkan Kedah Darul Aman FC dan nampaknya, rakan sepasukannya, Kipre Tchetche juga dijangkakan akan turut serta dengannya apabila Kedah secara rasmi mengumumkan yang Kipre Tchetche tidak lagi akan bersama mereka.
🔰 TCHETCHE KIPRE, BIAR JASA JADI KENANGAN!
Kedah Darul Aman FC merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Tchetche Kipre yang telah mencurahkan segalanya dan perjuangan sepenuh hati sepanjang menyumbang tenaga dengan skuad hijaukuning sejak musim 2020.#kdafc #TK10 pic.twitter.com/Wc3hKGQKgw
— KEDAH DARUL AMAN FC (@kda_fc) December 15, 2021
Sebagaimana Kpah Sherman, Kipre Tchetche juga sudah dua musim menyarung jersi Hijau Kuning dan kedua-duanya tampil cemerlang membantu Kedah dalam mencipta jaringan. Dalam saingan Liga Malaysia musim lalu, Kipre Tchetche berhasil melakar 11 jaringan sebagaimana musim 2020, juga mencipta 11 jaringan.
Menurut wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Kipre Tchetche dijangka akan diumumkan kembali ke pangkuan bekas pasukannya itu. Beliau beraksi di pasukan Pantai Timur itu untuk tiga musim iaitu sejak 2017 hingga 2019, sebelum dilamar Aidil Sharin Sahak yang mengendalikan Kedah untuk musim keduanya.
Kipre Tchetche merupakan seorang penyerang, sebagaimana Kpah Sherman. Jika Kpah Sherman lebih kepada pemain nombor 9, penyerang kelahiran Ivory Coast itu pula boleh beraksi di posisi sayap menyerang kanan dan kiri, penyerang kedua dan penyerang utama. Jelas, beliau pemain terbaik telah dipancing Terengganu kali ini.
Jordan Mintah yang baru sahaja melanjutkan kontraknya bersama Terengganu dilihat meluahkan rasa tertipu di akaun Twitternya. Ciapnya, “Apabila kepercayaan telah dirosakkan, kita boleh terus kekal berada di rumah.”
Beliau juga meletakkan tanda pagar #NextTeamHomeComing dan telah menimbulkan persoalan, adakah beliau mahu berhijrah ke mana-mana pasukan? Atau beliau akan kembali ke Filipina untuk tampil beraksi di sana?
Sebagaimana yang diketahui, Jordan Mintah meletakkan syarat ketika memilih untuk kekal bersama mereka. “Jurulatih, Badrul Afzan Razali berharap saya kekal dengan Terengganu FC II, namun saya mahu beraksi untuk pasukan Liga Super kerana di situ orang lebih nampak kita,” ungkap penyerang berusia 26 tahun itu.
Pemain yang terkenal sebagai ‘Pakar Statistik Jaringan‘ itu sebelum ini telah menarik minat beberapa pasukan, namun mungkin kepercayaannya yang beliau akan diberi tempat dalam skuad utama telah menyebabkan beliau kekal di Terengganu. Begitupun, nampaknya kini, ada orang yang telah memungkiri janji mereka terhadapnya.