10 Jaringan Terhebat Sergio Aguero Sepanjang Kariernya Bersama Man City

Sergio Aguero kini secara rasminya sudah mengundurkan diri dari dunia bola sepak, kerana tahap kesihatan beliau yang tidak mengizinkan.

Beliau merupakan penandatanganan terbaru Barcelona pada jendela perpindahan musim panas lalu, namun beliau hanya sempat membuat beberapa penampilan sahaja bersama gergasi Catalan itu.

Atas masalah kesihatan, Sergio Aguero terpaksa mengundurkan diri dari dunia bola sepak, dengan beliau turut menitiskan air matanya ketika mengumumkan persaraannya secara rasmi semalam.

Bila bercakap tentang Aguero, sudah tentu para peminat akan mengenang kehebatan beliau bersama bekas kelabnya, Manchester City.

Beliau akan terus dikenang sebagai legenda terhebat sepanjang zaman Manchester City, dan tidak keterlaluan untuk menganggap beliau berhak untuk dianggap sebagai pemain terhebat sepanjang zaman dalam saingan Premier League.

Beliau pada musim panas lalu meninggalkan Man City dengan rekod yang sungguh luar biasa menakjubkan, dan sukar untuk dipecahkan oleh mana-mana pemain.

Selepas 10 tahun berkhidmat untuk The Citizens, beliau akhirnya meninggalkan Etihad untuk bersama dengan Barcelona, sebelum kini bersara secara rasmi.

Pemain kebangsaan Argentina itu telah berjaya menjaringkan 260 gol dari semua pertandingan bersama Manchester City sepanjang 10 tahun kariernya.

Sangat menarik untuk membicarakan tentang rekod dan pencapaian beliau sepanjang tempoh tersebut, namun hari ini kita akan lihat senarai 10 gol terhebat Sergio Aguero sepanjang kariernya bersama Man City.

1. QPR, Mei 13, 2012

Aguero sudah menjaringkan 260 gol untuk City dan ia merupakan rekod terbanyak sepanjang zaman kelab, namun gol bertemu QPR akan tetap dikenang sebagai yang terhebat dari kesemua gol yang lain.

Gol inilah yang membantu Manchester City memenangi gelaran liga pertama mereka dan juga pemangkin kepada permulaan era dominasi The Citizens di pentas bola sepak Inggeris.

Beliau berjaya meledak gol kemenangan di masa kecederaan dalam perlawanan terakhir liga pada musim itu.

Aguero menerima bola hantaran dari Mario Balotelli, melepasi pemain pertahanan lawan dan melepaskan rembatan yang menerjah jaring gawang gol QPR.

Gol itu membantu Manchester City mencatatkan kemenangan 3-2, seterusnya membantu mereka untuk dinobatkan sebagai juara saingan Premier League.

2. Swansea, Ogos 15, 2011

Aguero menyertai Manchester City dengan yuran perpindahan bernilai £38 juta dari Atletico Madrid pada musim panas 2011.

Beliau tidak menunggu lama untuk memberi impak dengan Aguero cemerlang menjaringkan dua gol ketika aksi debutnya bertemu Swansea.

Beliau meledak gol pertamanya selepas hanya lapan minit dimasukkan dari bangku simpanan sebelum menambah satu lagi gol dalam membantu kemenangan 4-0 City menewaskan Swansea dalam perlawanan tersebut.

3. Manchester United, April 8, 2013

Man City terpaksa melepaskan gelaran liga kepada seteru sebandar mereka, Man Utd pada tahun 2013, namun ia tidak menghalang mereka untuk mencatat kemenangan dalam aksi Manchester derby di Old Trafford.

Aguero meledak gol kemenangan untuk bantu City mendahului perlawanan 2-1 selepas beliau dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-71 permainan.

Beliau berjaya menjaringkan gol yang cukup cantik selepas menewaskan barisan pemain pertahanan United untuk mencari penjuru atas gawang gol lawan.

4. Leicester, Februari 10, 2018

Pemain kebangsaan Argentina itu hampir sahaja untuk bersendirian membenam The Foxes di Etihad, dengan beliau cemerlang meledak empat gol dalam aksi kemenangan 5-1 City menewaskan Leicester itu.

Gol keempat beliau merupakan antara gol yang tercantik berbanding gol lain, dengan beliau ketika itu mengambil bola dari Phil Foden dan melepaskan rembatan padu menuju ke sisi gawang dari luar kotak penalti.

5. Liverpool, Februari 3, 2013

Aguero menunjukkan bagaimana kejamnya beliau boleh jadi ketika beliau berjaya memanfaatkan kesilapan dari Pepe Reina untuk menghukum Liverpool.

Beliau berjaya menjaringkan gol dari sudut yang dianggap mustahil untuk seseorang pemain itu berjaya menghasilkan gol.

Salah faham antara Martin Skrtel memperlihatkan Reina meninggalkan gawang golnya, namun bola berjaya dipintas oleh Aguero yang datang dari sudut sebelah kanan.

Aguero membawa bola ke garisan dan berjaya menjaringkan gol dari sudut yang terlalu sukar dan dianggap mustahil untuk beliau menjaringkan gol.

6. Newcastle, Oktober 3, 2015

The Magpies merupakan antara pasukan yang benar-benar terkesan dengan kehebatan Aguero, dengan bintang Argentina itu berjaya meledak lima gol ketika membantu City membelasah Newcastle 6-1.

Kesemua lima gol yang berjaya beliau jaringkan datang dalam tempoh 20 minit sahaja sepanjang kedua-dua aksi babak pertama dan kedua.

Gol keempat beliau merupakan gol jarak jauh yang sungguh menakjubkan, dengan gol ketiga beliau dianggap antara gol tercantik dalam perlawanan itu.

7. Manchester United, September 22, 2013

Satu lagi aksi Manchester derby yang memperlihatkan Man City mencatatkan kemenangan 4-1 menewaskan jiran mereka itu di Etihad Stadium.

Gol kali ini merupakan gol volley yang sangat jahat dengan Aguero bahkan langsung tidak melihat arah sasaran dengan beliau terus melepaskan rembatan selepas menerima bola umpanan dari Aleksandar Kolarov.

Ia merupakan kekalahan pertama dari dua kekalahan Man Utd di bawah kendalian David Moyes di tangan musuh sebandar mereka itu.

8. Chelsea, Februari 10, 2019

Sergio Aguero berjaya mencatatkan hat-trick ketika membantu City mencatatkan kemenangan besar 6-0 menewaskan Chelsea pada ketika itu.

Gol pertama jaringan beliau merupakan gol hasil rembatan jarak jauh yang sungguh menakjubkan, dengan beliau ketika itu mengambil bola dari Oleksandr Zinchenko, melepasi dua pemain pertahanan dan melepaskan rembatan padu dari jarak 25 ela.

9. Sunderland, Disember 3, 2014

Ketika Sunderland berkesempatan untuk mendahului aksi dalam perlawanan yang dilangsungkan di Stadium of Light, Aguero segera memadam gol pendahuluan dari mereka.

Selepas hanya dua minit Connor Wickham membuka tirai jaringan, Aguero berjaya menjaringkan gol yang cantik menewaskan bekas penjaga gol City, Costel Pantilimon.

Beliau kemudiannya memainkan peranan penting dalam membantu Manchester City mencatatkan kemenangan selesa 4-1 menewaskan Sunderland.

10. Watford, September 16, 2017

Aguero turut berjaya mencatatkan hat-trick dalam perlawanan ini, dengan beliau cemerlang membantu City mencatatkan kemenangan besar 6-0 menewaskan Watford di Vicarage Road.

Aguero menjaringkan gol solo yang sungguh menakjubkan dalam perlawanan ini, ketika beliau mengutip bola dari jarak 30 ela, menewaskan tiga pemain pertahanan, sebelum merembat bola melepasi penjaga gol, Heurelho Gomes dari sudut yang sempit.

Banyak lagi gol-gol cantik dan menakjubkan yang berjaya dijaringkan oleh Sergio Aguero sepanjang kariernya bersama Manchester City.

Namun setakat ini, gol dari 10 perlawanan inilah yang dianggap terbaik dan akan terus dikenang oleh para peminat buat selama-lamanya.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN