Malaysia dijangkakan akan turun menentang skuad simpanan atau skuad ‘lebih muda’ Jordan dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), pada malam nanti.
Dalam sidang media yang telah berlangsung semalam, pengendali Jordan, Vital Borkelmans menyatakan yang beliau hanya memiliki 17 pemain di Kuala Lumpur dan rata-ratanya adalah pemain muda.
“Saya senaraikan 24 pemain tetapi buat masa sekarang hanya 17 pemain ada bersama saya. Musa (Al-Taamari) dan Omar (Hani) (kedua-duanya bermain untuk kelab Apoel) terlibat dalam saingan kelayakan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Ajax.
“Kedua-duanya akan terus ke Taiwan nanti,” ujar Vital Borkelmans sambil menjelaskan beliau menghormati kemampuan Malaysia.
Bekas pembantu kepada Marc Wilmots dalam skuad kebangsaan Belgium itu turut memaklumkan yang ‘The Chivalrous’ akan beri peluang kepada pemain muda untuk pamer kemampuan mereka menjelang sepak mula kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
“Saya akan beri peluang kepada pemain-pemain muda dan saya juga percaya dengan kemampuan skuad saya,” ujarnya.
“Setiap perlawanan penting bagi saya termasuklah perlawanan menentang Malaysia. Saya akan beri peluang kepada pemain-pemain saya, mereka tahu apa yang saya mahukan daripada mereka,” tambah pengendali berusia 56 tahun itu lagi.
Menurutnya lagi, Jordan sebenarnya memiliki pemain-pemain muda berbakat di peringkat B-23 dan B-19 dan inilah yang beliau mahu gunakan untuk membina generasi emas sebagaimana yang pernah dilakukannya bersama Marc Wilmots di Belgium.
Disamping itu, Vital Borkelmans turut gembira kerana tiba lebih awal iaitu lebih kurang seminggu di Malaysia kerana mereka dapat menyesuaikan diri lebih baik dengan cuaca di Asia Tenggara yang menurutnya tiada perbezaan ketara dengan cuaca di Taiwan.
“Perubahan cuaca dan masa penting untuk pemain-pemain saya (untuk sesuaikan diri) kerana kita akan ke Taiwan selepas ini yang memiliki keadaan yang hampir sama dengan Malaysia.
“Saya gembira kita tiba lebih awal ke Malaysia sebagai persediaan untuk ke Taiwan,” ujarnya yang baru menamatkan saingan dalam Kejohanan Bola Sepak Asia Barat (WAFF) 2019 di Iraq.
Selepas pertemuan dengan Malaysia, Jordan akan terbang ke Taiwan untuk aksi Kumpulan B, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 sebelum kembali ke Amman untuk aksi persahabatan menentang pasukan dari Amerika Selatan, Paraguay.
Kredit Featured Image: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)