Quantcast

BERITA

Brendan Gan Mahu Pikat Tan Cheng Hoe

Adakah Brendan Gan memiliki masa yang cukup bagi buktikan kepada pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe untuk membawanya ke saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Indonesia dan UAE pada minggu hadapan?

Kali terakhir pemain Perak itu beraksi bersama skuad kebangsaan adalah pada September 2016 menentang Indonesia dalam aksi persahabatan sejurus musuh serumpun itu tamat penggantungan setahun oleh FIFA bermula pada Mei 2015 sehingga Mei 2016.

Ketika itu skuad kebangsaan di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee dan beliau hanya sempat beraksi selama 45 minit sebelum mengalami kecederaan ACL yang telah menghantarnya pulang ke Australia untuk satu rehat yang panjang buat kali kedua.

“Saya sangat teruja untuk kembali. Ia sentiasa menjadi satu penghormatan untuk beraksi bersama skuad kebangsaan.

“Selepas melalui kecederaan untuk beberapa tahun, kemudian kembali bersama Perak dan memberikan aksi terbaik serta terpilih untuk bersama skuad kebangsaan memang sangat mengujakan.

“Ia sangat sukar kerana ini adalah skuad kebangsaan. Ia sepatutnya sukar. Kita tidak boleh ambil mudah dalam semua perkara,” ujar Brendan Gan yang dipetik menerusi portal Goal.com.

Begitupun, kembalinya kini ke dalam skuad kebangsaan dalam skuad yang serba lengkap di setiap posisi. Persaingan sengit untuk dua posisi di jentera tengah dijangkakan akan berlaku dan pemain berusia 31 tahun ini perlu bersaing dengan tenaga-tenaga muda.

Akram Mahinan, Nor Azam Azih, Danial Amier Norhisham dan Syamer Kutty Abba adalah antara pesaingnya untuk jentera tengah. Dengan hanya berbekalkan beberapa hari kem skuad kebangsaan, adakah Brendan Gan sudah memikat Tan Cheng Hoe?

“Pemain-pemain ini adalah yang terbaik dan mereka telah pamerkan sepanjang musim ini yang mereka sangat menakjubkan terutamanya yang beraksi dalam skuad kebangsaan sebelum ini.

“Saya akan cuba berikan 100 peratus (komitmen) di dalam latihan dan setiap kali di padang latihan. Itu sahaja yang mampu saya lakukan ketika ini,” jelas pemain kacukan Malaysia-Australia itu.

Ketika ditanya apakah kelainan yang akan dibawanya ke dalam skuad kebangsaan, Brendan Gan menyatakan setiap pemain memiliki kualiti permainan yang berbeza dan atas sebab itulah setiap pemain itu dipilih oleh pengendali skuad kebangsaan.

Malaysia akan turun menentang Jordan pada malam ini dan jika Brendan Gan tersenarai dalam kesebelasan utama, pastinya ada kualiti dalam permainannya yang ingin ditagih Tan Cheng Hoe.

Kredit Featured Image: Stadium Astro