Kali ini, kami akan membawa anda jauh mengembara ke Australia. Tetapi kami bukan nak cerita pasal A-League tetapi mengenai sebuah pasukan amatur yang mencipta nama di kancah bola sepak amatur Australia.
Kebangkitan yang mengujakan
Joondalup United telah mencipta nama apabila menjadi juara State League untuk zon Barat Australia pada bulan September yang lalu.
Apa yang menarik adalah kerana kejayaan itu dikecapi oleh mereka pada usia penubuhan kelab yang cukup muda iaitu 16 tahun.
Kejayaan kelab amatur itu cukup bermakna buat mereka. Hal ini kerana mereka akan berada beraksi di peringkat kebangsaan iaitu National League untuk musim 2017.
Persiapan rapi
Menyedari cabaran musim 2017 pasti lebih menyukarkan. Joondalup United telah melakukan persiapan rapi.
Mereka telah melakukan sesi percubaan terbuka untuk mencari pemain-pemain yang berkualiti untuk mengisi tempat skuad bawah-18 tahun mereka.
Hal ini membuktikan kelab bertaraf amatur seperti Joondalup United ini juga mempunyai perancangan rapi untuk masa depan kelab mereka.
Seramai lebih 70 orang pemain hadir ke sesi percubaan dengan Joondalup United memilih 18 pemain untuk mewakili mereka.
Para ibu bapa juga berpuas hati serta dengan senang hati mahu membayar wang yuran untuk anak mereka bermain untuk pasukan ini.
Selain itu juga, para jurulatih Joondalup United juga dikerah untuk menyertai kursus kejurulatihan kelas C yang dikendalikan oleh Football West yang merupakan badan induk bola sepak di Barat Australia.
Langit tak selalu cerah
Sama seperti cuaca di negara kita sejak akhir ini. Langit tidak selalu cerah, menjelang petang hujan lebat pasti akan tiba.
Begitulah nasib Joondalup United. Dikala mereka sedang gembira untuk beraksi di liga kebangsaan, datang sebuah pasukan yang mahu menyingkirkan mereka dari liga walaupun liga belum bermain lagi.
Pada tarikh 11 November, Joondalup United telah dipanggil untuk menghadiri mesyuarat bersama Football West. Hal ini kerana satu kelab iaitu Subiaco AFC telah mencabar keputusan Football West yang membenarkan Joondalup United untuk bermain di National League.
Bagi Subiaco AFC, Joondalup United tidak melengkapkan kesemua syarat yang dikenakan oleh National League untuk beraksi di liga tersebut pada musim depan.
Hakikatnya, Joondalup United sebenanrya telah memenuhi semua syarat yang diperlukan untuk bermain di National League.
Disebabkan itu, Football West telah menggantung keputusan untuk menaikkan Joondalup United ke National League pada 2017 dan ini ternyata mengecewakan mereka.
Bagi Joondalup United pula, Subiaco AFC hanya mengambil kesempatan kerana mereka sebenarnya baru saja disingkirkan ke liga bawahan!
Di Barat Australia, Subiaco AFC terkenal dengan reputasi sebagai ‘anak emas’ Football West. Pada 2013, mereka telah diselamatkan oleh Football West selepas kelab South West Phoenix dikeluarkan serta-merta dari liga tersebut kerana Subiaco AFC.
Tak tahan lagi
Layanan yang diberikan oleh Football West dan Subiaco AFC terhadap Joondalup United sudah semakin mendapat perhatian.
Komuniti bola sepak di Barat Australia ternyata sudah tidak tahan lagi dengan apa yang dilakukan oleh 2 entiti itu terhadap Joondalup United.
“Nasib Joondalup United dan mana-mana kelab bola sepak seharusnya ditentukan hanya di padang dan bukannya di bilik perbicaraan.”
Oleh itu, satu petisyen atas talian telah diwujudkan untuk memastikan agar Joondalup United mendapat perbelaan yang sewajarnya oleh Football West.
Anda juga boleh turut serta menandatangani petisyen atas talian ini dengan klik pada pautan di sini.
Kami di Semuanya BOLA amat mengangkat tinggi keadilan di dalam bola sepak. Kami berharap sekatan yang diberikan oleh Football West terhadap Joondalup United ditarik balik serta-merta agar mereka dapat beraksi di liga yang sepatutnya mereka beraksi musim depan.
Semoga berjaya, Joondalup United!
Baca juga: Benfica Khianati Kelab Divisyen 3 Sweden, Tak Mahu Bayar Klausa Perpindahan Pemain