Johan Cruyff: Konduktor Okestra ‘Total Football’ 4-3-3 Belanda Di Piala Dunia 1974

Setiap kali menyaksikan perlawanan bola sepak antarabangsa melibatkan pasukan Belanda, anda pasti akan terkenang kembali kisah silam pasukan ini.

Nama-nama hebat dan ikonik yang pernah menjadi dambaan jutaan ‘kaki bola’ seluruh dunia akan kembali menitip bibir.

Namakan sahaja. Marco van Bansten, Dennis Bergkamp, Ruud van Nistelrooy, Ruud Gullit, atau pun pemain kepala angin seperti Edgar Davies, skuad The Orange mempunyai deretan pemain yang satu masa dahulu menjadi idola, daripada kanak-kanak sehinggalah dewasa.

Menyentuh skuad kebangsaan Belanda, anda pasti tidak lari dari membicarakan satu lagi nama hebat dari negara berkenaan. Semestinya individu yang dimaksudkan ialah Johan Cruyff dan falsafah bola sepak ‘total football’ yang dipopularkannya.

Johan Cruyff: Konduktor falsafah ‘Total Football’

Johan Cruyff adalah individu yang menjadi tumpuan dunia bola sepak pada era 1970an.  Merupakan penyerang utama pasukan Belanda, beliau lebih dikenali sebagai konduktor dan pendukung utama ‘total football’.

Nama sebenar Johan ialah Hendrik Johannes Cruijff. Beliau dilahirkan pada 25 April 1947 di Amsterdam dan berasal daripada keluarga kelas pekerja.

(Photo by VI Images via Getty Images)

Dua kali menyertai Ajax, pertama kali ketika membuat penampilan pertama dan yang kedua ialah ketika kembali berkelana daripada Sepanyol, Cruyff telah memenangi 8 gelaran Eredivisie.

Selain daripada Ajax dan Barcelona, Cruyff adalah tunjang kepada falsafah ‘total football’ Belanda yang popular ketika Piala Dunia 1974.

Salasilah falsafah Total Football

Ajax berjaya menawan eropah pada ketika itu. Tetapi siapakah di sebalik kehebatan Johan Cruyff dan pasukan Ajax?  Individu yang menginspirasikan kehebatan Cruyff dan Ajax, tidak lain dan tidak bukan ialah Rinus Michels.

Michels bersama Ajax dari 1965-1971. Beliau juga adalah pengendali skuad kebangsaan Belanda pada 1974.

Michels adalah pelopor kepada falsafah ‘Total Football’, namun gagal merealitikan corak permainan tersebut, sehinggalah beliau ditemukan dengan Cruyff.

(Photo by Bob Thomas/Getty Images)

Kedua-duanya turut bergandingan di Barcelona pada tahun 1973 dan meninggalkan legasi tersendiri di gergasi Catalan tersebut. Cruyff yang turut menjadi pembimbing Barcelona pada 1988-1996, turut merevolusikan falsafah ‘total football’ Michels sehinggalah ia dikenali sebagai ‘tiki-taka’ pada hari ini.

‘Tiki-taka’ yang popular ketika era Pep Guardiola adalah kesinambungan daripada falsafah ‘total football’ yang digendong oleh Michels dan Cruyff satu masa dahulu.

Analisis: Apakah falsafah dan formasi ‘total football’?

Bagaimanakah ‘total football’ harus dimainkan? Apakah formasi terbaik untuk mengamalkan falsafah ‘total football’?

Selain daripada Ajax, DNA ‘total football’ boleh disaksikan di pentas antarabangsa melalui pasukan kebangsaan Belanda ketika Piala Dunia 1974. Mari kita membuat sedikit analisa mengenai pasukan ini.

(Photo by Bob Thomas/Getty Images)

Ramai mengatakan formasi ‘total football’ ialah 10! 10 pemain yang bergerak bebas di atas padang, mempunyai keupayaan mengambil posisi yang ditinggalkan rakan sepasukan demi memastikan ‘fluidity’ pasukan ketika melakukan serangan.

Jika pasukan Belanda pada 1974 dijadikan bahan kajian, mereka sebenarnya menggunakan formasi 4-3-3. Mereka memiliki bahagian tengah yang agak konvensional.

Win Jansen adalah pemain yang gemar melakukan terjahan. Johan Neeskens adalah pemain yang akan berlari ke setiap sudut. Manakala Willem van Hanegem adalah pemain yang akan membuat hantaran dan lorongan maut (killer/penetrative passes).

(Photo by Werner OTTO/ullstein bild via Getty Images)

Bahagian serangan pula terdiri daripada 2 pemain menyerang di ‘wide area’ iaitu Johnny Rep dan juga Rob Rensenbrink. Johan Cruyff pula akan memainkan peranan sebagai pemain No.9.

Antara komponen terpenting dalam falsafah taktikal 4-3-3  ‘total football’ di dalam pasukan Belanda ini ialah semua pemain berasa selesa ketika bola berada di kaki. Ini menuntut kebolehan teknikal pemain yang tinggi.

Pemain bek Belanda pada ketika itu, Wim Suurbier dan Ruud Krol turut aktif dalam membantu gerakan menyerang pasukan. Begitu juga pemain pertahanan tengah seperti Arie Haan, sering kali ke hadapan untuk mengisi bahagian tengah pasukan.

(Photo credit should read STF/AFP/Getty Images)

Kebolehan pemain mengisi posisi yang pelbagai ketika dalam permainan adalah asas kepada ‘total football’ pasukan 1974 ini.

Cruyff mempunyai peranan yang istimewa dalam sistem ini. Di atas kertas, beliau ialah seorang No.9. Namun beliau dibenarkan untuk berada di mana sahaja bergantung kepada permainan dan aliran bola.

Ini menjadikan permainan Belanda mempunyai ‘fluidity’ yang tinggi. Rakan sepasukan Cruyff akan menuju ruang yang dicipta oleh Cryuff, hasil kelincahan dan skil individu yang dimiliki oleh beliau.

Mandatory Credit: Allsport UK/ALLSPORT

Disebabkan itu, Neeskens dan Rep mampu menjaringkan banyak gol, selepas menerima hantaran-hantaran cantik daripada Cruyff.

Formasi 4-3-3 berfalsafahkan total football ini adalah inovasi Rinus Michels. Sebelum ini Michels menggunakan formasi 4-2-4.

Dengan kebolehan dan kebijaksaan luar biasa mencari ruang yang dimiliki oleh Cruyff, Michels mengubahsuai taktikalnya kepada 4-3-3 pada 1970.

Sistem itu kemudiannya diadaptasikan kepada pasukan kebangsaan Belanda, hanya beberapa minggu sebelum kejohanan bermula.

Rumusan

Mitchels hanya dilantik sebagai jurulatih Belanda beberapa bulan sebelum Piala Dunia 1974, dan hanya boleh memberi fokus kepada pasukan ketika kem latihan pusat.

Di Piala Dunia 1974, ‘total football’ yang dipersembahkan oleh Belanda adalah yang paling lengkap dan diperkatakan dari generasi ke generasi sehingga kini.

Ia lebih mementingkan taktikal daripada formasi, mempunyai garisan offsaid yang tinggi, permainan ‘pressing’ berintensiti tinggi, dan kekerapan pertukaran posisi yang memerangkap lawan.

Namun Cruyff berputih mata di perlawanan akhir 1974 itu. Berti Vogts diarahkan untuk melakukan ‘man marking’ terhadap Cruyff dan berjaya mematikan langkah Cruyff dalam perlawanan itu.

Ada juga yang berpendapat keyakinan diri yang terlampau tinggi mengagalkan Cryuff dan Belanda. Jerman bangkit dari ketinggalan 1 gol untuk memenangi perlawanan akhir tersebut dengan jaringan 2-1.

Sumber:

1. The Guardian (2017): What formation did Holland’s Total Football side actually play?; https://www.theguardian.com/football/2017/sep/13/what-formation-did-hollands-total-football-side-actually-play?utm_content=buffer5df13&utm_medium=social&utm_source=twitter.com&utm_campaign=buffer

2. Phil McNulty, BBC (2016): Johan Cruyff – The man who made Total Football reality; http://www.bbc.com/sport/rugby-union/35893027

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN