Perbandingan yang boleh dikatakan ‘keterlaluan’ apabila pengurus baharu Fleetwood Town FC, Joey Barton membandingkan dirinya dengan pengurus Manchester City, Pep Guardiola.
Barton membuat perbandingan tersebut untuk menyokong dirinya sebagai pengurus kelab tersebut. Katanya Pep adalah pemain tengah yang perlahan dan tiada skil, seperti dirinya.
Selain Pep, dia turut menyatakan Mauricio Pochettino juga di dalam kategori yang sama, sementara Zinedine Zidane pula adalah rakan posisi tengah sepertinya ketika beraksi.
“Jika anda perhatikan, pemain tengah yang perlahan cenderung menjadi pengurus yang baik,” ujar Barton kepada Daily Mail selepas dilantik pada Isnin lalu.
“Pep merupakan pengurus terbaik dan dahulunya pemain tengah yang perlahan dan tiada skil. Mauricio Pochettino juga dalam kategori yang sama,” ujarnya lagi.
“Saya tiada skil, fizikal saya tidaklah besar, saya juga perlahan dan tidak terlalu keras,” jelas bekas pemain yang dilahirkan oleh akademi Manchester City itu.
Pada usia 35 tahun, Barton akhirnya mengumumkan kariernya sebagai pemain bola telah berakhir dan dia tidak lagi akan dapat dilihat beraksi di dalam padang selepas ini.
Sebaliknya, sedikit mengejutkan para pemerhati bola sepak, Barton muncul dengan status baharu iaitu sebagai pengurus Fleetwood Town dengan kontrak selama tiga tahun.
Persahabatan dengan Andy Pilley, pemilik kelab tersebut dikatakan menjadi sebab dia dipilih namun menurut Daily Mail, tiada salah dia menggunakan ‘kabel’ yang ada.
Memetik ayat akhbar tersebut, ‘sekurang-kurangnya dia berani untuk memulakan karier kejurulatihannya di pasukan liga bawahan disamping tahu, ramai yang mahu lihat kegagalannya’.
Barton terkenal dengan insiden-insiden kontroversi dan memiliki disiplin teruk ketika bergelar pemain. Malah, dia baharu sahaja tamat tempoh penggantungan akibat berjudi pada 1 Jun lalu.
Untuk mengetahui kisah penggantungannya itu, para pembaca boleh rujuk artikel ini, Pergantungan Joey Barton Dikurangkan, Jalani Rawatan Psikiatri Rawat Ketagihan Judi.
Disamping itu, dia turut mengeluarkan kenyataan menyokong rakan-rakannya yang telah dilantik sebagai pengurus baru-baru ini iaitu Frank Lampard dan Steven Gerrard.
Fleetwood Town kini bersaing di EFL League One dan pada musim lalu telah menamatkan saingan liga di kedudukan ke-14 daripada 24 pasukan bertanding.