Ketua Jurulatih Jerman, Joachim Low terus berdiam diri apabila dikaitkan dengan jawatan pengurus di Bayern Munich pada musim hadapan.
Pengendali berusia 58 tahun itu dilaporkan adalah calon yang berpotensi menggantikan Jupp Heynckes, yang kembali mengendalikan Bayern pada Oktober lalu sebagai pengendali sementara.
Heynckes yang tiba selepas pemecatan Carlo Ancelotti oada Oktober lalu hanya bersetuju untuk membantu Bayern Munich sehingga ke akhir musim ini.
Rekod cemerlang Heynckes bersama Bayern Munich membuatkan pihak pengurusan tertinggi kelab tersebut berharap jurulatih berusia 72 tahun itu kekal di Allianz Arena melangkaui musim ini.
Namun demikian, Heynckes dilaporkan sudah menjelaskan niat beliau untuk kembali ke persaraan selepas tamat musim ini.
Nama Low turut tersenarai bersama beberapa nama lain, yang dilihat berpotensi menduduki kerusi panas di kelab Bavarian itu.
Antaranya ialah bekas jurulatih Borussia Dortmund, Thomas Tuchel; pengendali Frankfurt, Niko Kovac dan juga juulatih RB Leipzig, Ralph Hasenhuttl.
Ketika ditemui wartawan Sky Sports selepas menyaksikan perlawanan di antara Bayern Munich dan Schalke baru-baru ini, Low terus berteka-teki dengan jawapannya.
“Saya masih di dalam kontrak bersama DFB sehingga 2020. Saya hanya mahu memberikan fokus sepenuhnya kepada Piala Dunia. Saya tidak memikirkan apa yang akan berlaku selepas itu,” jawab Low.
Low yang mengambil alih jawatan jurulatih skuad kebangsaan Jerman sejak 2006 turut memuji apa yang dilakukan oleh Heynckes di Bayern Munich.
“Jupp telah melakukan kerja yang baik sekali di sini. Saya pasti semua penyokong Bayern di Jerman mahukan beliau kekal sebagai jurulatih,” tambah Low lagi.
Perlawanan yang menyaksikan Bayern Munich menewaskan Schalke dengan keputusan 2-1 hasil jaringan Thomas Mueller dan Robert Lewandowski itu bagaimanapun tidak dihadiri oleh Heynckess yang diberikan rehat oleh pihak kelab disebabkan masalah kesihatan.