Pemain tengah Jerman, Ilkay Gundogan terus dikecam segelintir penyokong skuad Die Mannschaft selepas beliau sekali lagi menjadi mangsa boo pada perlawanan persahabatan menentang Arab Saudi awal pagi tadi.
Pemain yang beraksi buat pasukan Manchester City itu turut dilayan sedemikian pada perlawanan bertemu Austria tempohari.
Tindakan penyokong Jerman itu dilaporkan tanda protes akibat pertemuan Gundogan dan Mesut Ozil dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.
”Dia (Ilkay Gundogan) merupakan pemain skuad kebangsaan.”
”Tindakan itu (boo) tidak akan membantu sesiapa pun,” Low bercakap kepada ARD.
Dalam pada itu, Low yang mula membimbing Jerman pada Julai 2006 turut mengulas mengenai aksi anak buahnya pada pertembungan menentang Arab Saudi.
”Kami sangat terbuka dalam bertahan dan membenarkan banyak serangan balas pantas dari Arab Saudi.”
”Kami akan terus meningkat dan apabila kejohanan bermula, kami akan berada di sana.”
”Saya rasa kami bermula dengan baik. Kami telah beraksi dengan baik pada separuh masa pertama.”
”Kami telah memberi banyak ruang. Di akhirnya kami mempunyai sedikit nasib. Minggu hadapan kami akan lebih hidup dan dinamik.”
Pada perlawanan yang berlangsung di BayArena itu, Jerman mendahului 2-0 pada babak pertama selepas Timo Werner membuka tirai jaringan seawal minit ke-8 dan Omar Othman Hawsawi menjaringkan gol sendiri pada lewat permainan.
Arab Saudi cuba bangkit dan usaha mereka berhasil selepas Taisir Al-Jassim menyempurnakan peluang selepas Marc-Andre ter Stegen berjaya menepis sepakan penalti dari Mohammed Al-Sahlawi untuk jaringan tunggal wakil Asia itu.
Kemenangan yang dicatatkan Jerman berjaya menamatkan rentetan lima perlawanan tanpa kemenangan buat juara Piala Dunia 2014 itu.