Penyerang Terengganu FC II, Jordan Mintah seolah-olah memberikan petanda akan angkat kaki jika beliau gagal untuk menempatkan diri dalam skuad Liga Super Terengganu musim depan, menurut laporan Berita Harian.
Ia satu keputusan sukar yang perlu dibuatnya, sama ada kekal di Kuala Terengganu atau menerima tawaran lain yang sudah mula menjengah ke tingkap ‘rumahnya’ – tiga pasukan Liga Super dan beberapa pasukan luar.
Mana-mana pemain pun, jika ditanya, tentunya mahu beraksi di saingan tertinggi liga. Begitu juga Jordan Mintah yang terbukti seorang penyerang yang memiliki penyudah terbaik di Liga Malaysia pada ketika ini.
Sebagai penjaring terbanyak liga perdana musim ini, Jordan Mintah enggan terburu-buru mencari jaringan, sebaliknya wajib pastikan Skuad Peteh raih tiga mata dalam setiap aksi Piala Malaysia 2021. @ASTROARENA pic.twitter.com/Co9yfZrY1N
— Syakirah Zulkifly (@SykrhZlkfly) October 30, 2021
Memetik katanya di Berita Harian semalam, “Musim depan saya belum pasti beraksi dengan pasukan mana. Lagi pun saya tidak mahu memikirkan lagi perkara itu kerana kontrak saya bersama TFC II masih ada lagi.”
“Sayapun memasang impian untuk beraksi dalam liga divisyen satu di sini musim depan, tapi jika saya tidak mendapat tempat dalam liga itu, tiada sebab untuk saya kekal beraksi di Terengganu,” jelasnya mengenainya.
Beliau telah beraksi dalam enam perlawanan dan meledak empat gol ketika Terengganu kehilangan David da Silva yang mengalami kecederaan pada awal musim lalu. Sebaik sahaja David da Silva pulih, Jordan Mintah kembali ke pangkuan TFC II untuk meneruskan khidmatnya di sana dengan menjadi peledak sejati.
Adakah prestasi beliau langsung tidak menggamit perhatian pengendali Terengganu, Nafuzi Zain? Tak cukup bagus untuk Liga Super? Buktinya, empat gol, dua assist dalam enam penampilan pertamanya di Liga Super.
Begitupun, dalam aksi Piala Malaysia di mana peluang diberikan kepadanya berbanding David da Silva, beliau masih gagal mencipta jaringan. Adakah ia disebabkan masalah kecederaan yang mengganggu prestasinya?
“Saya akui ramai peminat mahukan saya kekal beraksi di Terengganu. Saya pun sudah gembira tinggal di sini dengan suasana dan penyokongnya, seolah-seolah rumah kedua saya. Apa-apapun terpulang kepada budi bicara pihak pengurusan untuk menentukannya,” tegas penyerang berusia 26 tahun itu lanjut tentangnya.
Ujarnya, “Ia seperti anda menyukai seseorang, jika anda sukakannya, anda akan beri yang terbaik untuknya.”
Menurut penganalisis bebas Liga Malaysia, Zuraimi Zukri, Jordan Mintah memiliki ‘baka’ Ifedayo Olusegun dalam dirinya yang jelas tidak dimanfaatkan Terengganu sepanjang dua musim beliau bersama mereka.
Aksi Jordan Mintah lebih kepada membantu skuad TFC II di Liga Premier dan memberikan bantuan jika diperlukan untuk bersama Terengganu di Liga Super. Adakah itu standard ‘pakar statistik jaringan’ ini?
Ujar Zuraimi di laman Facebooknya tentang Jordan Mintah, “Terengganu telah membawa masuk seorang penjaring gol sejati ke dalam Liga Malaysia, namun masih belum diperagakan di pentas tertinggi domestik.”
“Si pakar statistik jaringan. [Jordan] Mintah bukan lakukan semusim tetapi 5 musim tanpa henti. Satu tempoh yang bukan senang dilakukan oleh ramai penyerang,” tambahnya lagi mengenai statistik pemain itu.