Matias Bunge yang merupakan ejen kepada Jesus Corona mengakui bahawa Chelsea telah berhubung bagi menyatakan minat untuk mendapatkan khidmat pemain sayap FC Porto itu.
Seperti yang dilaporkan semalam, Frank Lampard dikatakan sedang mempertimbangkan untuk membawa membawa masuk Corona sekiranya The Blues gagal mendapatkan bintang rebutan Borussia Dortmund, Jadon Sancho pada tempoh perpindahan musim panas nanti.
Turut berkeupayaan beraksi dengan baik di jentera pertahanan kanan serta tanda harga yang lebih murah berbanding Sancho, Jesus Corona dilihat calon terbaik bagi Lampard memantapkan barisannya.
Bunge bagaimanapun mengakui bahawa bukan Chelsea sahaja yang menginginkan pemain berusia 27 tahun itu kerana terdapat pasukan lain turut menunjukkan minat tetapi melihat kelab Liga Perdana Inggeris tersebut mempunyai peluang lebih besar.
”Kami sudah mengadakan perbincangan dengan mereka [Chelsea]. Saya tidak boleh mengatakan sekiranya dia adalah pilihan A, B atau C, hal-hal seperti itu lebih kepada khabar angin.”
”Kami harus menunggu terlebih dahulu sambil menanti saingan liga untuk kembali bersambung, dari situ kita akan melihat apa pergerakannya kerana pada ketika ini pasaran sedikit terhenti.”
”Dia masih mempunyai baki kontrak selama dua tahun. Penampilan luar biasanya telah menarik minat banyak kelab dalam kejohanan ini [Primera Liga], tetapi sayangnya dengan keadaan pada ketika ini membuatkan semuanya berjalan dengan sedikit perlahan, pembelian pemain sedang dikuarantin.”
Dalam pada itu, Bunge turut mendedahkan klausa pelepasan yang terdapat dalam kontrak pemain kelahiran Hermosillo, Mexico itu.
”Klausa pelepasan terkini ialah sebanyak €30 juta. Dari situ kita akan lihat apa yang akan terjadi. Hari ini, Jesus merupakan sandaran utama Porto untuk beberapa musim dan mereka akan melihat bagaimana ia berakhir.”
”Kami telah bercakap dengan beberapa pasukan dari England, Sepanyol dan beberapa lagi dari Jerman, tetapi kebiasaannya tahap seperti ini sudah ada rundingan secara serius, tetapi saingan liga juga masih belum dapat dipastikan sama ada bersambung atau tidak,” tambah Bunge lagi menurut laporan Goal.