Pasukan bawah-20 Jerman baru sahaja tersingkir dari Piala Dunia Bawah-20 yang sedang berlangsung di New Zealand. Mereka tewas dalam penentuan penalti menentang Mali dalam suku akhir.
Antara pemain bawah-20 Jerman yang terlibat adalah keturunan kepada beberapa bekas pemain Jerman. Antaranya Pascal Kopke dan Levin Oztunali.
Pascal Kopke merupakan anak bekas penjaga gol Jerman Barat yang memenangi Piala Dunia 1990; Andreas Kopke. Pada mulanya, Kopke tidak dimasukkan dalam skuad bawah-20 Jerman. Tetapi semuanya berubah selepas 2 penyerang yang disenaraikan menarik diri.
Yang pertama; Davie Selke mengumumkan mahu menyertai latihan pra-musim bersama kelab barunya, Red Bull Leipzeig, daripada pergi ke New Zealand. Kemudian Tim Kleindienst yang baru menyertai Freiburg mendapat kecederaan serius apabila ligamennya terkoyak ketika sesi latihan skuad Jerman bawah-20.
Levin Oztunali merupakan cucu Uwe Seeler, penyerang kerdil Jerman yang pernah memenangi anugerah Pemain Terbaik Tahunan Jerman Barat pada 1960, 1964 dan 1970.
Oztunali dan Julian Brandt – satu lagi anggota pasukan Jerman bawah-20 – merupakan antara pemain yang sudah bermain di Bundesliga. Kedua-dua mereka sudah membuat beberapa kemunculan untuk Bayer Leverkusen.
Secara keseluruhannya, pasukan bawah-20 Jerman mempunyai 6 pemain Bundesliga, 4 pemain liga kedua, 4 pemain liga ketiga, dan 7 pemain liga keempat Jerman.
Tetapi bukan pemain bawah-20 Jerman yang kami mahu tekankan dalam artikel ini. Sebaliknya, kami mahu perkenalkan kepada ketua jurulatih Jerman bawah-20. Namanya Frank Wormuth. Beliau adalah punca mengapa kami tulis artikel ini.
Latar belakang Wormuth
Frank Wormuth terkenal ketika menjadi pembantu jurulatih kepada Joachim Loew ketika mereka mengurus Fenerbahce pada 1998. Jurulatih berusia 54 tahun ini sudah mengurus pasukan bawah-20 Jerman sejak 2010.
Paling penting adalah beliau pernah menjadi ketua akademi kejurulatihan Hennes Weisweiler pada 2008. Tempat di mana lesen kejurulatihan di Jerman dikeluarkan. Tempat di mana ketua Program Pembangunan Bolasepak Negara (PPBN) Lim Teong Kim memperoleh lesen DFB ‘A’ yang setaraf dengan UEFA Pro License.
Taktikal baru dalam bola sepak
Jika anda perhatikan pasukan Jerman bawah-20, mereka melakukan sesuatu yang melawan norma taktikal bola sepak sekarang. Ketika semua pasukan sedang belajar daripada Pep Guardiola untuk menyimpan bola ketika menyerang dan bertahan, anak buah Wormuth ‘membuang bola’ untuk menyerang!
Anda pasti tertanya-tanya: bagaimana untuk menyerang jika pasukan membuang bola?
Mengapakah bekas Pengarah Akademi Kejurulatihan Jerman mengarahkan pemainnya membuang bola untuk menyerang? Apakah idea disebalik taktik ini?
Idea disebalik ‘membuang bola untuk menyerang’
Satu perkara yang membuatkan Barcelona, Borussia Dortmund, Bayern Munich dan pasukan kebangsaan Sepanyol sangat berbahaya adalah cara bagaimana mereka mendapatkan bola selepas kehilangan penguasaan bola.
Mereka menggunakan counter-pressing atau terma bahasa Jermannya – gegenpressing.
Baca: Pengenalan Kepada Taktik Gegenpressing
Jika pasukan anda kehilangan bola di kawasan kubu lawan (berhampiran dengan kawasan penalti lawan), anda tidak boleh berundur untuk bertahan. Sebaliknya, lakukan apa yang Barcelona, Dortmund dan Bayern Munich lakukan – semua pemain perlu naik (termasuk pertahanan) dan beri tekanan kepada pemain lawan yang mempunyai bola.
Ini bermakna, pemain lawan akan terdedah kepada tekanan sebaik sahaja mereka mempunyai bola. Mereka tidak mampu merancang serangan dari bawah.
Apabila ditekan, pemain lawan akan melakukan hantaran panjang, atau melakukan hantaran dekat (square pass) di kawasan kotak penalti sendiri – sesuatu yang kita sudah diajar untuk elak dari kecil kerana ia sangat berisiko.
Sekarang, idea Wormuth adalah – jika pemain lawan agak mudah terdedah kepada kesilapan apabila mereka ditekan melalui taktik gegenpressing, mengapa tidak cipta peluang tersebut?
Dalam kata lain, apa kata pemain anda ‘buang bola’ supaya mereka boleh melakukan gegenpressing di kawasan kubu lawan? Supaya mereka boleh memaksa pemain lawan melakukan kesilapan di kawasan kubu mereka sendiri?
Idea gila?
Apabila anda faham konsep taktikal Wormuth ini – membuang bola secara terancang – ia tidaklah kedengaran gila sangat.
Wormuth menjelaskan:
“Anda boleh melakukannya secara sengaja atau dalam situasi kecemasan. Apabila pasukan anda ketinggalan gol, mereka boleh membuang bola dan melakukan taktik ini.”
Tetapi Wormuth juga memberitahu pasukan anda perlu membuang bola ke kawasan yang tertentu sahaja:
“Apa yang kita mahu adalah bola yang dibuang ke kawasan belakang pertahanan, dihadapan penjaga gol dan di kawasan half-space.”
Nota: half-space merupakan terjemahan literal kepada perkataan Jerman halbraum. Sila rujuk rajah dibawah ini.
Menurut Wormuth lagi:
“Secara idealnya, bola akan melantun dan kekal di kawasan tersebut seperti bola golf. Salah seorang pemain pertahanan lawan perlu mengutip bola tersebut. Pada masa ini, ketika dia sedang berlari mendapatkan bola, kita akan naik atas dan beri tekanan kepada pemain ini.”
Jika difikirkan memang ada logiknya dengan taktikal Wormuth ini. Apabila pemain pertahanan ini sudah mengutip bola dan berpaling, beliau akan dikepung oleh beberapa pemain anda.
Mengapa bola perlu diarahkan ke kawasan half space? Kerana di kawasan inilah, pilihan paling jelas untuk pemain pertahanan adalah – hantaran belakang (back pass) kepada penjaga gol – yang mudah dipintas oleh penyerang anda.
Taktik lama
Bagi kami, taktik Wormuth ini tidaklah ‘baru’ sangat. Ini kerana kami pernah membaca artikel temu ramah Lothar Matthaus dengan Der Spiegel, Arrigo Sacchi yang melatih AC Milan sudah lama melakukannya.
Matthaus yang pernah bermain untuk Inter Milan menjelaskan, dalam satu perlawanan derby liga menentang AC Milan, pelan serangan AC Milan adalah:
“Membuang bola dan membiarkan pemain bek kiri kami (Andreas Brehme) tanpa kawalan dengan sengaja. Kemudian mereka (AC Milan) menyerang Brehme beramai-ramai.”
Baca: Arrigo Sacchi: Dari Jurujual Kasut Kepada Pengurus Pasukan Lagenda
Lothar Matthaus turut menjelaskan dalam artikel tersebut, beliau pernah mencuba taktikal sama kepada pasukan kebangsaan Bulgaria.
“Saya pernah praktis taktikal ini dengan pasukan kebangsaan Bulgaria. Kami sengaja membuang bola tetapi pada masa yang sama memeastikan bola tidak keluar padang. Kami sengaja beri pemain lawan rasa selesa. Kemudian kami serang pemain mereka ramai-ramai.”
Kesimpulan
Frank Wormuth menjelaskan beliau pernah mengajar taktikal ini semasa beliau mengetuai akademi kejurulatihan Jerman.
“Tetapi tiada jurulatih yang mengaplikasikannya. Jadi sekarang saya aplikasikan dalam pasukan bawah-20 Jerman. Tetapi pemain saya tidak menggemari taktikal ini. Suatu hari nanti mereka akan faham mengapa saya melakukannya.”
Seperti kata Wormuth, taktikal ini tidak digemari pemain. Masakan tidak, pemain Jerman sudah diajar dari kecil untuk menyimpan bola dan mengekalkan penguasaan bola. Apabila mereka disuruh membuang bola, sudah pastilah mereka tidak suka.
Tetapi memandangkan pasukan kebangsaan kita (Malaysia) suka membuang bola dan tidak mahir menyimpan bola, apakah ini taktikal terbaik untuk pemain Malaysia?
Apa kata anda?
Baca juga: Perlukah Pemain Bola Sepak Belajar Sehingga Ke Universiti?
Sumber: ESPNFC, Spielverlagerung, Getty Images
Like page SemuanyaBOLA di Facebook.
Follow Twitter kami di @semuanyabola.