Mengapa Jepun Mula Melabur Duit Dalam Bola Sepak Asia Tenggara?

Beberapa tahun kebelakangan ini, bola sepak Asia Tenggara semakin menunjukkan peningkatan.

Di kawasan di mana bola sepak Inggeris adalah yang paling popular sehingga menjadi destinasi tetap perlawanan pra-musim, Asia Tenggara berpotensi menjadi kawasan hangat bagi industri bola sepak.

Pasukan kebangsaan Filipina, Laos, Timor Leste, Kemboja yang dahulunya menjadi pasukan belasahan (pada era 80-an dan 90-an) kini sudah dianggap setaraf dengan Malaysia, Thailand, Vietnam, Singapura dan Indonesia.

Buriram United (Thailand) kini dianggap sama kuatnya dengan pasukan-pasukan dari Jepun dan Korea Selatan seperti yang terbukti dalam kempen Asian Champions League (ACL). Buriram United pernah mara sejauh suku akhir dalam ACL edisi 2013.

Terbaru, pasukan bawah-20 Myanmar layak ke Piala Dunia Bawah-20 di New Zealand. Mereka kalah ketiga-tiga perlawanan kumpulan dan sudah pun tersingkir, tetapi ini bukan penamat bagi pasukan bawah-20 Myanmar. Sebaliknya, ini baru permulaan mereka.

Penswastaan liga bola sepak Malaysia pula menarik tajaan syarikat media yang berpangkalan di London, MP & Silva sebanyak RM1.26 bilion – paling tertinggi dalam sejarah industri bola sepak Malaysia.

Peningkatan kualiti dan populariti bola sepak Asia Tenggara membuka laluan kepada peningkatan saiz industri bola sepak. Dan Jepun adalah antara negara pertama yang menyedari peningkatan ini.

Dan ketika ini, Jepun sedang sibuk meluaskan sayap mereka ke Asia Tenggara untuk menjadi pemimpin (leader) dalam industri bola sepak Asia Tenggara.

 

1. Taiichiro Saito (Kemboja)

Dari pemain bola sepak ke ahli perniagaan

Taiichiro Saito kerap berulang-alik dari Singapura ke Kemboja sejak bersara daripada bola sepak untuk menguruskan perniagaan syarikatnya, Samurai Pt. Ltd.

Sebelum menceburkan diri dalam bidang perniagaan, Saito pernah bermain di Singapura, Australia dan Ghana. Selepas bersara, beliau menubuhkan Samurai Pt. Ltd pada 2009 dimana teras utama perniagaannya adalah pengurusan pasukan bola sepak dan kemudahan fasiliti latihan bola sepak.

Ketika ditanya mengapa beliau menubuhkan syarikat di Singapura, Saito menjawab:

“Singapura adalah negara yang mudah untuk menjalankan perniagaan start-up seperti syarikat kami. Syarikat start-up luar negara mendapat pengecualian cukai pada tahun pertama oleh kerajaan Singapura.”

Samurai Pt. Ltd hanya mempunyai 3 pekerja (termasuk Saito) tetapi sudah pun terlibat dalam banyak projek pembangunan bola sepak di Singapura dan Kemboja.

Di Singapura, syarikat Saito bertanggungjawab membawa 5 pemain Jepun ke Hougang United FC yang bermain di S-League. Mereka juga banyak menguruskan kejohanan bola sepak antara sekolah-sekolah di Singapura.

Pada 2012, syarikatnya melebarkan sayap ke Kemboja. Di sana, syarikat Saito menubuhkan Global Football Academy (GFA) Soriya, sebuah akademi bola sepak. Penubuhan akademi bola sepak ini menarik penajaan besar dari Toyota dan kini Yamaha.

saito

Untuk pengetahuan anda, Honda menguasai 90% pasaran motosikal di Kemboja. Untuk menarik penajaan, Saito meyakinkan Yamaha dengan menaja akademinya, mereka dapat memberi impresi bagus motosikal Yamaha kepada golongan muda dan ibu-bapa.

Saito juga aktif mengajurkan klinik bola sepak dan menguruskan pertandingan bola sepak tempatan di Kemboja.

Ogos tahun lepas, Saito menerima permintaan dari Persatuan Bola Sepak Kemboja (FFC) untuk menganjurkan satu kejohanan bola sepak antarabangsa di Phnom Penh. Kejohanan tersebut telah disertai oleh 120 pelajar menengah rendah dari pelbagai negara Asia termasuk Jepun.

Di samping itu, Saito juga aktif memberi syarahan mengenai subjek pemasaran sukan (sports marketing) di universiti tempatan Kemboja.

Projek mega baru

Selepas 3 tahun penglibatan Saito dalam bola sepak Kemboja, syarikatnya mendapat satu lagi projek baru. Kali ini projeknya lebih besar.

“Sebuah stadium bola sepak akan dibina disini dan saya terlibat dalam sebahagian besar operasi ini”, kata Saito.

Saito merujuk kepada projek pembangunan stadium bola sepak di Battambang, 300 km dari Phnom Penh. Stadium baru ini bakal menjadi gelanggang tuan rumah bagi pasukan Liga Kemboja, Build Bright United.

Build Bright United merupakan pasukan bola sepak universiti (seperti UiTM FC). Build Bright mempunyai beberapa kampus di seluruh Kemboja, dan salah satunya di Battambang.

Seperti majoriti pasukan di Liga Kemboja, hampir semua pasukan tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh. Di sinilah, syarikat Saito membantu. Langkah pertama Saito adalah membina stadium untuk kliennya, Build Bright United.

Matlamat Saito adalah untuk menggunakan stadium baru ini untuk menjana sumber kewangan kelab melalui kutipan tiket perlawanan, kontrak penajaan serta penjualan barangan rasmi pasukan.

Dengan stadium ini dibina di Battambang – sebuah bandar yang mempunyai populasi 1 juta penduduk – Saito berpendapat menjana pendapatan untuk pasukan bukan satu masalah besar.

BBU

Tajaan syarikat konglomerat Jepun

Dengan Saito sendiri merupakan orang Jepun dan bekas pemain bola sepak, banyak syarikat-syarikat besar Jepun tiada masalah menandatangani kontrak penajaan dengan projek Saito.

Ini termasuklah Toyota Motor Corp, Nikkei Inc. (penerbit majalah perniagaan terkenal Jepun), Yamaha Motor Cambodia Inc dan Hisamitsu Pharmaceutical Co.

Ketiga-tiga syarikat ini telah terlibat operasi perniagaan di Asia Tenggara. Jadi penajaan mereka bertujuan untuk meningkatkan kesedaran jenama (brand awareness) mereka di Kemboja.

Presiden Yamaha Motor Cambodia, Kazuhiro Numazawa menjelaskan sebab mereka menaja projek bola sepak Saito adalah kerana:

“Ia merupakan salah satu daripada aktiviti kami bagi membolehkan genarasi baru ini memasang impian dimasa depan serta menaikkan imej syarikat kami”.

 

2. TriAsia Group (Kemboja)

Pemasaran melalui penajaan

Salah satu pasukan dalam Liga Kemboja adalah TriAsia Phnom Penh FC (sekarang dikenali sebagai Cambodia Tiger FC). Kelab ini diuruskan oleh TriAsia Group, sebuah syarikat dagangan Jepun.

TriAsia Group muncul di Kemboja 2 tahun lalu apabila memulakan perniagaan makanan disana. Sekarang TriAsia telah mempunyai 9 cabang perniagaan di Kemboja termasuklah dalam sektor pembinaan.

Untuk mengukuhkan jenama mereka di Kemboja, TriAsia Group menaja Cambodia Tiger FC, sebuah pasukan bola sepak di Liga Kemboja.

Kenji Yoshida, 31, bertindak sebagai orang penting dalam operasi pembangunan bola sepak Cambodia Tiger FC.

Yoshida menyertai TriAsia Group selepas meninggalkan karier beliau di sebuah syarikat software Jepun pada musim panas tahun lepas. Sejak penglibatannya dalam pasukan Cambodia Tiger FC, Yoshida berjaya menarik beberapa syarikat tempatan untuk menyambung kontrak penajaan.

Kenji Yoshida

Ketika awal-awal penajaan TriAsia Group, Cambodia Tiger FC bermula dari bawah. Bermula dari divisyen 2 pada 2013, mereka menjuarainya pada tahun yang sama. Pada 2014, mereka menamatkan cabaran ditempat ke-5 dari 12 pasukan dalam liga divisyen 1 Kemboja.

Operasi pasukan Cambodia Tiger FC juga berkembang dengan pantas kerana gaji pemain-pemain mereka dibayar lebih tinggi daripada pasukan lain serta teknik latihan unik yang digunakan oleh Jepun.

TriAsia team

Saiz industri bola sepak Kemboja meningkat

Pada Julai 2013, TriAsia Group telah melabur 100 juta yen (RM3 juta) bagi memulakan sebuah stesen televisyen Jepun di Kemboja. Selain daripada menyiarkan program-program televisyen Jepun, perlawanan Cambodia Tiger FC juga disiarkan.

triAsia tv channel

Malah TriAsia Group juga bakal menyiarkan perlawanan pasukan J League, Yokohama F Marinos di stesen televisyen tersebut selepas menandatangani perjanjian dengan pasukan J League tersebut.

Aktiviti seperti ini telah menyebabkan kos operasi tahunan TriAsia Group dalam industri bola sepak meningkat kepada berbilion yen, dan masih belum menguntungkan.

Berbeza daripada syarikat kecil seperti Samurai Pt. Ltd yang menjana keuntungan dalam industri bola sepak, TriAsia Group melihat pelaburan besar mereka dalam industri bola sepak sebagai kos pemasaran untuk menjana keuntungan dalam cabang perniagaan mereka yang lain.

Bagaimanapun, Yoshida mempunyai impian yang lebih besar.

“Suatu hari nanti saya mahu melihat pasukan ini (Cambodia Tiger FC) menjana keuntungan yang lebih baik daripada pasukan J League, dan saya mahu menghantar pemain pasukan kami bermain di Jepun”.

 

3. Firma sukan Jepun (pelbagai)

Menghantar staf bekerja di Asia Tenggara

Thailand merupakan salah sebuah negara yang mendapat sentuhan kepakaran Jepun dalam industri bola sepak mereka.

Dianggarkan ada lebih kurang 60 orang pemain Jepun dalam Liga Thailand. Bermakna liga ini mempunyai interaksi terhadap Jepun yang paling tinggi berbanding liga lain di Asia Tenggara.

Atsuo Ogura (Chonburi FC)

Salah seorangnya adalah Atsuo Ogura, 35, yang bertugas sebagai pengurus jualan dan penajaan kepada Chonburi FC. Beliau mula berkhidmat di Chonburi FC selepas berhenti kerja di sebuah syarikat IT Jepun.

Atsuo Ogura

Atsuo Ogura berpendapat peluang penajaan syarikat Jepun terhadap pasukan bola sepak Thailand adalah peluang mereka untuk menjalinkan kerjasama dengan syarikat pemilik kelab.

“Di Thailand, banyak kelab dimiliki oleh orang kenamaan atau ahli politik berpengaruh. Syarikat-syarikat Jepun merasakan banyak kelebihan yang wujud jika terlibat dalam bola sepak. Bola sepak boleh digunakan sebagai medium diplomatik.”

Yuki Suzuki (Thai Honda FC)

Di Chiang Rai, utara Thailand pula, Yuki Suzuki dilantik sebagai pengurus am Chiang Rai United FC pada 2013 selepas berhenti daripada sebuah pasukan futsal Jepun. Beliau kini bekerja di Thai Honda FC, sebuah pasukan divisyen ke-2 Thailand.

Yuki Suzuki

Kentaro Yomo (Samurai Football Challenge)

Kentaro Yomo, 35, memulakan projek Samurai Football Challenge selepas berhenti kerja dari sebuah syarikat pembangunan sumber manusia di Jepun. Samurai Football Challenge adalah program rekrut graduan universiti Jepun yang mahu mencari pengalaman bekerja di kelab-kelab bola sepak Asia Tenggara.

samurai-compressed

Walaupun telah banyak universiti di Jepun menawarkan kursus pengurusan sukan diperingkat ijazah, namun peluang pekerjaan masih sedikit. Jadi daripada menganggur, mereka dapat menggunakan kepakaran dan ilmu mereka di Asia Tenggara.

Menurut Yomo, graduan pengurusan sukan Jepun tidak perlu takut untuk merantau.

“Di Asia Tenggara, mereka dianggap sebagai orang berpengalaman untuk terus memberikan impak segera. Jadi mereka tidak perlu takut untuk bekerja dan menghadapi cabaran.”

 

Kesimpulan

Dengan pelancaran Liga Bolasepak Rakyat (LBR) yang akan bermula pada Ogos nanti, kami merasakan pentingnya sokongan syarikat-syarikat di Malaysia (besar, sederhana dan kecil) untuk menaja pasukan daerah yang akan bertanding, seperti sokongan syarikat Jepun terhadap kelab Asia Tenggara.

Kami ingin menyeru syarikat SME untuk menyokong LBR dengan menaja pasukan daerah anda beroperasi.

Kami juga menjangkakan dengan termeterainya perjanjian JFA dengan FAM nanti, liga kita akan mula menerima sentuhan kepakaran Jepun seperti yang diterima oleh negara-negara Asia Tenggara lain.

Baca juga: Sejarah J League: Bagaimana Jepun Memulakan Liga Bola Sepak Mereka

 

Artikel ini disumbangkan oleh Fanpage J League Malaysia. Like J League Malaysia di Facebook untuk mendapatkan info terkini mengenai J League.

Sumber: SportsNavi

Like page SemuanyaBOLA di Facebook.

Follow Twitter kami di @semuanyabola.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN