Jens Petter Hauge: Budak Ajaib AC Milan Dari Wilayah Bodø

Secara tiba-tiba, nama Jens Petter Hauge ‘meletop’ setelah pemain muda Norway tersebut menjadi salah satu watak penting di sebalik kebangkitan AC Milan yang begitu ‘garang’ dalam saingan Serie A pada musim ini.

Musim ini pemain berusia 21 tahun tersebut telah mencetak tujuh gol dan menyumbang tiga bantuan jaringan hanya daripada 13 penampilan dalam semua pertandingan termasuk gol tunggalnya ketika membantu Milan menumpaskan Sparta Prague di saingan Liga Europa (UEL) tempoh hari.

Kemenangan tersebut meletakkan skuad kendalian Stafano Pioli itu gah menamatkan saingan peringkat kumpulan di kedudukan pertama kumpulan H dengan 13 mata selain turut mendahului carta Serie A dengan 26 mata selepas 10 perlawanan tanpa sebarang kekalahan.

Latar belakang

Dilahirkan di wilayah Bodø, Norway pada 12 Oktober 1999, Hauge menyertai akademi FK Bodø/Glimpt ketika berusia 13 tahun dan mengikat kontrak profesional pertamanya pada April 2016 sewaktu berusia 16 tahun.

Hanya sehari selepas itu, beliau membuat debut pertamanya bersama skuad utama apabila masuk selaku pemain gantian pada minit ke-64 menggantikan Fitim Azemi dan membantu pasukannya menang 6-0 ke atas IF Floya.

Gol pertamanya hadir beberapa bulan selepas itu ketika pasukannya meraih kemenangan 4-1 ke atas IK Start untuk menjadikan beliau penjaring gol termuda dalam sejarah kelab dalam saingan liga utama Norway, Eliteserian.

Beliau kemudiannya telah membuat 20 penampilan untuk Bodø/Glimpt dalam musim pertamanya namun pasukannya hanya menamatkan saingan di tangga kedua tercorot dan tersingkir ke liga divisyen kedua, 2.Divisjon.

Pahit manis di awal karier

Kematangannya menjadikan beliau diberi kepercayaan untuk beraksi lebih kerap untuk musim berikutnya dan hasilnya Hauge telah merekodkan dua gol dan 13 bantuan jaringan, sekaligus membantu Bodo untuk kembali ke liga utama untuk musim berikutnya.

Namun entah bagaimana, musim 2018 menyaksikan beliau kehilangan tempat dalam kesebelasan utama dan telah dipinjamkan ke kelab divisyen dua, Aelasunds FK pada pertengahan musim.

Malangnya di kelab tersebut juga beliau gagal menyerlah dan hanya membuat enam penampilan sahaja tanpa menjaringkan sebarang gol.

Namun memasuki musim 2019, beliau kembali diberi kepercayaan untuk mengisi kesebelasan utama Bodø/Glimpt dan telah menjaringkan tujuh gol selain dua bantuan jaringan dalam 28 perlawanan liga.

Untuk musim 2020, saingan liga telah ditangguh sehingga Jun ekoran krisis pandemik COVID-19 dan Bodø/Glimpt telah membuat kejutan dengan cemerlang dalam perlawanan-perlawanan awal untuk mendahului Eliteserian dengan Hauge sendiri telah menjaringkan enam gol dan mencipta enam bantuan jaringan.

Bagai bulan jatuh ke riba

Perlawanan kelayakan Liga Europa berdepan AC Milan pada Ogos 2020 telah mengubah nasibnya dan pasti akan menjadi kenangan manis buat Hauge dalam hidupnya.

Sekalipun Bodø/Glimpt tewas 3-2 dalam perlawanan tersebut, aksi luar biasanya dengan mencipta gol pertama dan menjaringkan gol kedua telah cukup menarik minat Pioli untuk membawanya ke San Siro.

AC Milan mengumumkan ketibaan Hauge pada 1 Oktober 2020 dengan harga hanya sekitar €5 juta (RM24.5 juta) dan mengikatnya dengan kontrak jangka panjang selama lima tahun.

Namun pada waktu itu, tiada siapa yang peduli dengan berita perpindahan ini kerana namanya tidak pernah dikenali dalam bola sepak Eropah berbanding penyertaan beberapa pemain baharu lain seperti Sandro Tonali, Brahim Diaz, Ante Rebic dan Diogo Dalot.

Gaya bermain

Hauge merupakan pemain kaki kanan yang beraksi di posisi sayap kiri yang selesa bermain dengan gerakan dari sisi masuk ke tengah dalam taktikal bola sepak moden.

Sewaktu di Bodø/Glimpt, pasukan tersebut kerap menggunakan formasi 4-3-3 seperti yang diamalkan oleh Pioli dengan Hauge boleh beroperasi sebagai pemain bebas yang boleh beraksi dalam mana-mana posisi di bahagian serangan.

Dengan memiliki ketinggian 1.84 meter, ia menjadi senjata utamanya mempamerkan kemahiran menggelecek serta kawalan bola yang kemas untuk mengatasi cabaran pemain pertahanan lawan.

Bintang masa depan Milan dan Norway

Jika ditanya apakah yang menjadikan skuad Rossoneri dilihat begitu dominan dan bertenaga pada musim ini selain daripada faktor ‘aura’ Zlatan Ibrahimovic, antara jawapannya pastilah kerana Pioli telah pun melengkapkan pasukannya dengan ‘squad depth’ yang lengkap.

Beliau mempunyai barisan pemain yang mencukupi di bahagian serangan dengan Hauge, Rebic, Diaz boleh diturunkan di bahagian sayap kiri selain memiliki beberapa pemain muda kreatif yang lain seperti Rafael Leao, Alexis Saelamaekers dan Daniel Maldini.

Keadaan tersebut menjadikan setiap pemain akan berusaha memberi komitmen semasa sesi latihan dan menampilkan aksi terbaik dalam setiap perlawanan. Maka Pioli mempunyai pilihan untuk menurunkan pemain yang berada pada tahap terbaik pada setiap perlawanan.

Buktinya sekalipun Milan telah kehilangan Ibrahimovic untuk beberapa perlawanan, pasukan tersebut masih mampu untuk mencatat keputusan-keputusan positif dalam lima perlawanan terakhir tanpa kelibat penyerang Sweden tersebut.

Apa yang pasti, Norway kini telah pun memiliki generasi emas dengan adanya Hauge, Erling Haaland, Martin Odegaard, Sander Berge dan Kristoffer Ajer yang diharapkan  membantu negara tersebut merasai nikmat beraksi dalam kejohana utama satu hari nanti.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan AC Milan:

UEL: Gol Memukau Hauge Bantu Milan Bangkit Benam Celtic

Pioli Enggan Terlalu Selesa, Akui Kelab Besar Mula Bangkit Kejar Milan

Stefano Pioli Berjaya Buat Satu Benda Yang Pengurus AC Milan Lain Gagal

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN