Teka teki mengenai senarai penuh pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) akhirnya telah terjawab melalui posting terbaharu di laman rasmi Facebook JDT, Johor Southern Tigers, lewat malam tadi.
Melalui posting tersebut, JDT telah mengumumkan senarai penuh pemain untuk keempat-empat skuadnya bermula dari JDT sehingga ke JDT IV. Keseluruhannya melibatkan 107 pemain.
Untuk skuad utama JDT yang bakal bersaing dalam kejohanan utama Liga Malaysia (Liga M) musim 2018, JDT telah mengesahkan kemasukan semula pemain import yang baharu sahaja dilepaskan pasca Liga M 2017, Gonzalo Cabrera.
Pada musim lalu, Cabrera telah didaftarkan atas kerakyatan Argentina, tempat kelahirannya, sementara untuk musim 2018, Cabrera didaftarkan menggunakan pasport Iraq untuk mengisi slot pemain import Asia.
Cabrera telah menyumbang 19 gol dan lima bantuan gol pada musim lalu untuk JDT ketika berpasangan bersama Gabriel Guerra di jentera serangan. Guerra kini sedang bersama skuad pra-musim Boca Juniors.
Slot pemain import Asia tersebut sangat dinanti-nantikan oleh para penyokong JDT dengan beberapa nama telah dikaitkan dengan perpindahan ke JDT antaranya Rafel Coelho.
Selain itu, Harimau Selatan turut menerima masuk semula tiga pemain yang pernah membantu JDT sebelum ini iaitu Hariss Harun, Jorge Pareyra Diaz dan Luciano Figueroa, yang kembali dari persaraan.
Hanya tiga pemain baharu yang bakal bersama skuad utama iaitu dua pemain daripada skuad B-23 negara, Adam Nor Azlin dan Syafiq Ahmad serta pemain naturalisasi, La’Vere Corbin-Ong.
Untuk skuad yang bakal beraksi di 100Plus Liga Premier pula, beberapa kejutan telah dibuat oleh JDT. Selain mengekalnya hampir separuh pemain musim lalu, JDT II bakal menerima beberapa pemain baharu yang agak hype.
Mendiamkan diri agak lama selepas dirundung kecederaan ketika beraksi di Sukan SEA 2017, bekas pemain Pulau Pinang, S. Kumaahran akhirnya telah memilih untuk menyertai JDT.
Sebelum ini, Semuanya BOLA telah beberapa kali cuba menghubunginya untuk bertanya mengenai status kecederaan serta masa depannya bersama Pulau Pinang, namun pemain tersebut memilih untuk mendiamkan diri.
Selain Kumaahran, kapten skuad Sukan SEA, Adib Zainuddin turut dilihat berada di dalam senarai tersebut selepas bermain tarik tali mengenai masa depannya bersama Felcra FC.
Bekas pemain Piala Presiden Melaka United, Najmuddin Samat turut diumumkan sebagai pemain JDT II. Dia pernah mencipta sensasi dalam saingan Kejohanan AFC B-16 bersama-sama R. Kogileswaran pada tahun 2014.
Dengan pengesahan rasmi ini, JDT tampak sudah bersedia untuk saingan Liga M musim 2018 dan skuad utama JDT akan membuka langkah pertama menentang Kedah dalam aksi pertama liga serta Piala Sumbangsih menentang Kedah, malam nanti.
Apa pandangan anda mengenai senarai penuh pemain JDT untuk musim ini? Dan sebagai penyokong JDT, apakah harapan anda kepada barisan pemain yang telah diumumkan tersebut? Kongsikan kepada kami.
Untuk melihat senarai penuh pemain JDT, anda bolehlah berkunjung ke laman rasmi Facebook JDT, Johor Southern Tigers.