5 Bintang Asia Tenggara Yang Menjadi Tumpuan Dalam Saingan Liga Super 2018

Hari ini merupakan hari yang ditunggu-tunggukan oleh peminat bola sepak tanah air selepas Liga Malaysia berehat selama hampir 3 bulan.

Apa yang menariknya ialah Liga Malaysia musim ini berwajah baharu apabila mendapat suntikan penajaan daripada unifi, iaitu jenama konvergens utama di bawah Telekom Malaysia Berhad (TM). Unifi akan menjadi penaja bagi saingan Liga Super, Piala Malaysia serta penaja bersama bagi Piala FA bermula pada tahun ini sehingga tahun 2025.

Malah, kali ini badan pengendali Liga Malaysia, Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) telah memperkenalkan slot pemain import kelima untuk pemain dari Asia Tenggara yang bakal mewarnai pentas unifi Liga Super Malaysia 2018.

Berikut ialah 5 bintang dari Asia Tenggara yang berhijrah ke kelab dari Malaysia dan bakal menyinar dalam saingan Liga Super musim ini.

Chan Vathanaka (Pahang)

Chan Vathanaka sebelum ini dilabelkan sebagai ‘Wonderkid’ dalam kalangan media di Kemboja  dan merupakan antara prospek yang bakal menyinar dalam landskap bola sepak Kemboja.

Mula menyertai pasukan divisyen satu liga Kemboja, Boeung Ket Angkor sejak tahun 2012, beliau mula mendapat perhatian pemerhati bola sepak di ASEAN selepas berjaya menyumbang 2 gol ketika bertemu Malaysia dalam kejohanan Piala AFF 2016.

Reputasi yang baik ketika bersama pasukan Kemboja telah menarik perhatian pasukan Fujieda MYFC yang beraksi di liga J3 (divisyen 3) Jepun.

Beliau dilamar secara pinjaman oleh pasukan ini sejak awal tahun ini dan turut diberi peluang beraksi dalam beberapa perlawanan.

Meskipun kurang beraksi, Chan menyifatkan pengalaman berada bersama kelab Jepun adalah satu pendedahan yang terbaik dalam kariernya. Liga Malaysia kemudian menjadi destinasi yang seterusnya untuk mengembangkan karier bola sepaknya.

Kehadiran Chan Vathanaka di bahagian sayap skuad Pahang menjelaskan ‘appetite’ serangan Tok Gajah yang lebih menumpukan kekuatan di bahagian sayap seperti yang dimainkan pemain import yang masih kekal musim ini iaitu Mohamadou Sumareh.

Kelincahan beliau di bahagian sayap bakal menjadi taruhan Pahang dalam merobek gawang lawan, serta dibantu oleh kreativiti dua lagi pemain, Safuwan Baharudin dan Norazam Azih yang bakal menjadi sandaran utama sebagai penggerak jentera tengah.

Evan Dimas (Selangor)

Evan Dimas merupakan anak kepada kakitangan keselamatan dan keluarganya bukanlah dalam kalangan golongan yang berada. Namun, semangat luar biasanya ketika bermain bola telah menarik minat banyak pihak.

Bintang muda yang berusia 22 tahun ini merupakan tonggak utama skuad kebangsaan Indonesia yang dipersiapkan untuk menghadapi acara bola sepak Sukan Asia tahun ini.

Beliau digelar sebagai ‘anak ajaib’ dalam kalangan rakan-rakan sepasukan di kelab lamanya iaitu SSB Mitra Surabaya dan Persebaya Surabaya.

Mula bermain bola sepak pada usia 10 tahun, Evan Dimas dilahirkan oleh Sekolah Sepak Bola (SSB) Mitra Surabaya. Di situlah, dia mula mendapat gelaran ‘anak ajaib’ dek kerana bakatnya.

Dia juga boleh dikatakan antara bakat terbaik di Indonesia selepas Andik Vermansyah dan dilabel oleh media Indonesia sebagai pemain bolasepak era moden Indonesia.

Pada tahun 2014, sebuah portal bola antarabangsa, Goal.com telah meletakkan Evan Dimas pada kedudukan teratas dalam senarai 20 pemain muda terbaik ASEAN.

Beliau juga sempat membantu pasukan Bhayangkara FC muncul sebagai juara Liga 1 Indonesia pada musim lepas dan agak mengejutkan apabila beliau memilih untuk berhijrah ke Liga Malaysia dan menolak tawaran daripada beberapa kelab dari negara lain.

Kehadirannya dengan pasukan Selangor pasti akan menjadi tumpuan banyak pihak. Dia adalah pemain muda berbakat besar yang Indonesia miliki ketika ini.

Bagaikan maestro di tengah padang, aksi Evan Dimas sentiasa berjaya mencuri perhatian. Di peringkat kejohanan bawah 19 tahun dan bawah 22 tahun, dia sering menjaringkan banyak gol disamping menjadi perencana gerakan di bahagian tengah.

Paling diingati pastinya jaringan hatrik ketika menumbangkan Korea Selatan 3-2 dalam pusingan kelayakan seterusnya membawa Indonesia B-19 beraksi di Kejohanan AFC B-19 pada taun 2014.

Misagh Bahadoran (Perak)

Misagh Medina Bahadoran merupakan kapten skuad kebangsaan Filipina yang berpengalaman luas di peringkat antarabangsa.

53 kap serta 7 gol di peringkat antarabangsa ternyata berjaya memikat barisan kejurulatihan Perak untuk membawanya ke Liga Malaysia. Malah, beliau juga merupakan seorang doktor gigi bertauliah yang bermain di posisi sayap dan serangan.

Misagh yang sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan Kelantan, merupakan bekas ketua pasukan Global Cebu FC yang beraksi dalam Piala AFC musim lalu dan juga tonggak utama skuad kebangsaan Filipina.

Beliau memilih untuk berhijrah ke Liga Malaysia kerana ingin merasai pengalaman untuk beraksi di liga, sistem, atmosfera dan jurulatih yang berbeza. Sesuatu yang tidak ditawarkan oleh Liga bola sepak di negaranya dimana Bola Kerajang adalah sukan utama di Filipina.

Misagh juga merupakan pemain kedua dari Filipina yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia selepas Mark Hartmann membuat kemunculan bersama pasukan Sarawak dan Pulau Pinang.

Ferdinand Sinaga (Kelantan)

Sedar dirinya memikul tanggungjawab besar untuk memenuhi harapan penyokong, penyerang import Kelantan dari Indonesia, Ferdinand Sinaga sedia beri segala-galanya untuk membalas kepercayaan diberikan kepadanya musim ini.

Penyerang berpengalaman skuad kebangsaan Indonesia ini sudah beraksi dengan 10 buah kelab yang berbeza kebanyakannya dari Liga Indonesia dan mengumpulkan 103 gol dalam 191 penampilan sepanjang dalam kerjaya bola sepaknya.

Kini misi utama Sinaga adalah mendapatkan keserasian bersama rakan sepasukan baharunya dan mahu menjadikan aksi pra musim kali ini sebaik mungkin untuk memastikan persediaannya pada tahap terbaik.

Pemain ini juga digelarkan sebagai “Naga” dan terkenal dengan sikap panas barannya ketika beraksi dalam saingan Liga Indonesia. Sesuatu yang menarik untuk disaksikan apakah beliau mampu menghadapi tekanan yang lebih tinggi dalam saingan Liga Malaysia.

Malah, pemain yang berusia 29 tahun itu juga berazam untuk menjaringkan lebih 10 gol dalam saingan Liga Malaysia musim ini untuk mengatasi rekod 12 gol yang dijaringkan olehnya ketika bersama kelab lama musim lepas.

Faris Ramli (PKNS FC)

Faris Ramli ialah nama yang bukan asing bagi peminat bola sepak tempatan kerana beliau merupakan antara tonggak skuad Lions XII ketika muncul sebagai juara Liga Super pada tahun 2014.

Pemain muda yang berusia 24 tahun ini sudah mewakil pasukan kebangsaan Singapura sejak tahun 2012 dan mengumpulkan 37 kaps dengan skuad senior.

Kemahiran tinggi mengelecek pemain lawan serta kepantasan yang dimiliki olehnya menjadi taruhan skuad PKNS FC untuk merobek gawang lawan dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Beliau juga membantu Home United melangkah ke perlawanan akhir Piala AFC zon Asia Tenggara dan pengalaman itu akan digunakan sebaiknya untuk membantu PKNS FC meraih kejayaan musim ini.

Beliau yang beraksi di posisi sayap itu merupakan pemain kelima dari Singapura yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim 2018.

4 pemain yang lain ialah Harris Harun (JDT), Hafiz Sujad (JDTII), Safuwan Baharudin (Pahang) dan Shahdan Sulaiman (Melaka United)

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN