Piala Malaysia: MIFA Kejutkan Juara Bertahan, JDT Di ‘The Fortress Larkin’

mifa

Juara edisi lalu, Johor Darul Ta’zim (JDT) dikejutkan oleh pendatang baharu saingan unifi Piala Malaysia, MIFA apabila tumbang 1-2 di Stadium Tan Sri Dato’ Hj Hassan Yunos, sebentar tadi.

Walaupun mengawal hampir keseluruhan perlawanan, namun kecemerlangan penjaga gol lawan, Muhaimin Mohamad berjaya menidakkan kemenangan buat tuan rumah.

JDT seperti biasa, sentiasa turun dengan barisan pemain terbaik dengan Marcos Antonio telah dilantik menjadi kapten dan bergandingan bersama Fadhli Shas di benteng.

MIFA pula turun tanpa kapten berpengalaman, S. Subramaniam namun dapat menyenaraikan penjaring terbanyak mereka dalam saingan 100PLUS Liga Premier, Kpah Sherman.

Separuh masa pertama

Penyerang JDT, Hazwan Bakri dua kali menguji penjaga gawang MIFA, Muhaimin seawal minit ke-5 dan ke-7 namun Muhaimin dilihat tenang menyelamatkan pintu golnya.

Muhaimin adalah penjaga gol terbaik dalam saingan Liga Premier bersama-sama Farizal Harun dari Felda United dan Sheril Anuar (PDRM) dengan rekod 5 clean sheets.

15 minit pertama, hanya JDT yang berjaya menggerakan serangan ke kubu lawan sementara MIFA pula tampak sukar untuk merancang serangan mahupun memegang bola.

Tanpa diduga, melalui serangan dan juga percubaan pertama ke gawang, penyerang pelawat, Sherman berjaya meledak gol pertama perlawanan pada minit ke-18.

Ianya terhasil selepas benteng tuan rumah terlepas kawalan ke atas Sherman yang mudah melakukan lambungan rendah mengatasi penjaga gol, Farizal Marlias di depan gawangnya.

JDT cuba bangkit dengan siri asakan namun benteng pelawat kukuh bertahan. Manakan tidak, selain aksi tangkas penjaga gol, MIFA juga dilihat turun dengan 5 pertahanan.

Antaranya dua percubaan oleh Fernando Marquez dan pemain tengah, Fernando Elizari pada minit ke-34 dan ke-35, namun masih gagal menewaskan Muhaimin di pintu golnya.

Daripada 8 percubaan, 3 percubaan tepat Harimau Selatan telah diselamatkan oleh Muhaimin sementara MIFA pula hanya berjaya melakukan 2 percubaan ke gawang lawan.

Separuh masa kedua

Muhaimin tangkas menyelamatkan gawangnya lagi pada minit ke-46 hasil percubaan pertama di babak kedua oleh tuan rumah daripada luar kotak penalti oleh Elizari.

Hazwan yang berjaya melepasi kawalan pertahanan pelawat gagal menjaringkan gol apabila rembatannya di sisi kiri gol telah diselamatkan Muhaimin pada minit ke-49.

MIFA banyak kali terperangkap dalam kedudukan offside apabila melakukan asakan ke kubu tuan rumah. Sejam perlawanan berlangsung, sudah 8 kali mereka telah diperangkap.

Akhirnya, Marquez berjaya menyamakan kedudukan buat JDT pada minit ke-69 selepas menyempurnakan penalti berpunca daripada handball pertahanan MIFA, B. Tinagaran.

Itu merupakan gol ke-8 Marquez pada musim ini selepas meledak 7 gol dalam saingan liga sebelum ini. Marquez baru sahaja menyertai JDT secara pinjaman pada Jun lalu.

Minit ke-80, Farizal tertewas sekali lagi. Pemain tengah, Bae Beom Geun berjaya menjaringkan gol kedua MIFA selepas menerima hantaran daripada penyerang, L’Imam Seydi.

Walaupun jarang sekali pasukan pelawat berjaya mengasak Farizal, namun sedikit peluang yang mereka dapati berjaya dimanfaatkan sepenuhnya dengan menghasilkan gol.

Pengadil perlawanan, Wan Mohamad Tarmizi Wan Ibrahim akhirnya menamatkan perlawanan dengan MIFA menang 2-1 ke atas juara bertahan Piala Malaysia, JDT.

MIFA juga melakar sejarah menewaskan Harimau Selatan di Larkin buat kali kedua musim ini selepas Pahang melakukannya pada April lalu dalam saingan suku akhir Piala FA.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN