Sebagai sebuah kelab besar dan mempunyai aspirasi yang tinggi, JDT pastinya mampu memperbaiki prestasi musim lepas mereka. Meskipun tewas dalam final Piala Malaysia (walaupun pada satu masa mereka mendahului satu gol menentang Pahang yang terpaksa bermain 10 orang), JDT berjaya muncul juara Liga Super 2014.
Pada awal musim, prestasi JDT agak tidak menentu dibawah kendalian Cesar Jimenez. Mereka mempunyai marquee signing dengan kehadiran lagenda Valencia, Pablo Aimar dalam pasukan mereka. Mereka bermain possession football dengan penekanan terhadap hantaran pendek. Tetapi Jimenez gagal menterjemahkan falsafah bola sepaknya kepada keputusan yang baik di dalam padang.
Dalam dunia bola sepak Malaysia yang agak result-oriented, nasib Jimenez tidak bertahan lama sebelum beliau digantikan oleh Bojan Hodak yang sebelum itu bertugas sebagai technical director nya.
Di bawah Bojan Hodak, JDT bermain lebih direct dan laju. Bagi Hodak, Pablo Aimar bukanlah pemain yang JDT perlukan. Aimar dilihat sebagai kemewahan (luxury), bukannya kemestian (necessity). Aimar kemudiannya digantikan dengan rakan senegaranya yang lebih muda, tetapi kurang terkenal iaitu Jorge Pereyra Diaz. Langkah ini sangat berisiko tetapi Hodak ternyata tahu dengan apa yang beliau lakukan.
Jorge Pereyra Diaz bukan sahaja penyerang yang sesuai bermain dalam pelan taktikal Hodak, malah merupakan pemain yang menyuntik inspirasi kepada pemain lain. Kebolehan teknikalnya setaraf dengan Pablo Aimar, cuma Diaz lebih dahagakan kemenangan untuk JDT. Musim lepas beliau menjaringkan 8 gol dalam 11 penampilan liga.
Musim ini JDT membuat sasaran untuk mempertahankan kejuaraan liga mereka. Tetapi tugas mereka akan menjadi lebih sukar kerana musim ini, mereka akan terlibat dalam pertandingan bola sepak peringkat Asia. Jadual mereka akan lebih sibuk.
Tetapi dengan perlepasan beberapa pemain simpanan seperti Norazlan Razali dan S. Subramaniam, dan kemasukan pemain-pemain baru yang berkualiti seperti Fandi Othman, Farizal Marlias dan Junior Eldstal, JDT mempunyai kapasiti untuk mendominasi liga.
Barisan pemain baru
Kemasukkan Farizal Marlias yang menggantikan Norazlan Razali menandakan saingan jersi no. 1 JDT akan menjadi sangat sengit diantara penjaga gol muda berpotensi tinggi, Izham Tarmizi dan Al-Hafiz Hamzah yang bertanggungjawab menjaga gawang JDT dalam perjalanan mereka merangkul kejuaraan liga musim lepas.
Junior Eldstal bakal memberikan physical presence di bahagian midfield tengah yang JDT perlukan pada musim lepas selepas midfield mereka sering dibuli oleh Dickson Nwakaeme berkali-kali. Eldstal bukan sahaja mempunyai fizikal yang kuat, malah selesa bermain possession football seperti yang beliau buktikan ketika bermain di bawah tunjuk ajar Ong Kim Swee.
Dengan S. Kunanlan dan S. Chanturu, JDT mempunyai dua pemain sayap direct yang laju, berstamina tinggi dan berada di puncak karier masing-masing. Gary Steven Robbat mungkin telah digantung tiga bulan, tetapi berdasarkan kenyataan Gary di media dan Tengku Mahkota Johor selepas FAM menggantung beliau, berkemungkinan besar Gary akan kembali ke JDT semula.
Fandi Othman merupakan nama tetap dalam kesebelasan utama Harimau Muda A yang bersaing dalam liga kedua Australia di Queesland dan bakal mencabar Asraruddin di posisi bek kiri. Rakannya di Harimau Muda A, Amer Saidin pula merupakan pertahanan jelmaan Aidil Zafuan, seorang pertahanan tengah yang pandai membuat sepakan percuma.
Kekuatan
Seperti kelab-kelab besar lain, JDT mempunyai squad depth yang besar. Mereka mempunyai sekurang-kurangnya 2 pemain berkualiti di setiap posisi, satu kriteria utama dalam sebuah pasukan yang mahu merebut kejuaraan liga.
Dengan jumlah penyokong yang semakin bertambah, infrastruktur kelab yang bertaraf dunia, penaung kelab yang dahagakan kejayaan, JDT mempunyai tarikan yang besar untuk menarik pemain berkualiti tinggi ke pasukan mereka. Jika pelan mereka tidak menjadi pada separuh masa pertama saingan liga, JDT mempunyai dana dan bulan April untuk memperbetulkan kesilapan mereka.
Kelemahan
Dengan JDT cenderung untuk menyerang, barisan pertahanan mereka kerap hilang konsentrasi untuk mengelak gawang mereka ditembusi. Aidil tampak lebih bagus ketika bermain di posisi bek kanan, tetapi kerap keluar dari posisi ketika bermain di tengah. Komunikasi antara Marcos Antonio dan Fadhli Shas masih boleh diperbaiki. Asraruddin pula kental bertahan tetapi nampak one-dimentional ketika membantu serangan. Fandi Othman dan Amer Saidin pula masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri bermain di pasukan baru.
Ayam tambatan
Tanpa ragu-ragu, ia adalah Jorge Pereyra Diaz. Nama Luciano Figueira mungkin kerap muncul di tajuk-tajuk akhbar utama tetapi Diaz adalah pemain yang membuatkan ahli-ahli pasukannya bersinar. Mempunyai kemahiran teknikal yang tinggi, tidak tamak dan gopoh di kubu lawan, Diaz berada di laluan tepat untuk menjadi lagenda di Larkin.
Like page SemuanyaBOLA di Facebook.
Follow Twitter kami di @semuanyabola.